PETALING JAYA – Hukum melepaskan ikan bandaraya ke sungai dalam keadaan mengetahui risiko kemudaratannya adalah haram.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi penerangan pada Bayan Linnas di laman web rasmi, hal ini kerana kewujudan spesies ikan ini secara berleluasa dalam sungai boleh mendatangkan kemudaratan terhadap alam sekitar.
“Perbuatan melepaskan ikan bandaraya ke dalam sungai secara berleluasa bercanggah dengan prinsip syarak yang menuntut manusia tidak melakukan kezaliman dan kerosakan di bumi, sama ada di daratan mahupun lautan serta memelihara alam dengan sebaiknya.
“Individu yang telah melepaskan haiwan berkenaan sebelum mengetahui kemudaratannya adalah dimaafkan kerana tiada pengetahuan tentang perkara tersebut,” menurut penjelasan dikongsikan pada laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Menjelaskan lebih lanjut, ikan bandaraya atau nama saintifiknya Hypostomus Plecostomus merupakan salah satu spesies ikan pemangsa yang menghuni kawasan air tawar.
“Pada asalnya, ikan bandaraya ialah ikan asing mendiami perairan di benua Amerika Selatan kemudiannya telah diimport ke Malaysia bagi memenuhi pasaran ikan hiasan sekitar tahun 1970-an. Penjualan ikan ini pada awalnya bertujuan memberikan kemudahan kepada pemilik ikan hiasan untuk membersihkan akuarium mereka.
“Hal ini kerana haiwan ini gemar menjadikan alga dan kotoran terdapat di dinding dan dasar akuarium sebagai makanan. Peminat ikan hiasan lazimnya akan menempatkan ikan bandaraya bersaiz kecil atau sederhana dalam akuarium masing-masing.
“Namun apabila saiz ikan tersebut semakin membesar, ia menjadi bebanan kepada pemilik disebabkan limitasi ruang dalam akuarium dan potensi untuk haiwan berkenaan menjadi pemangsa terhadap ikan hiasan lain. Pemilik melepaskan ikan mereka ke dalam sungai dengan beranggapan sungai ialah habitat sesuai baginya,” kata kenyataan itu.
Berdasarkan kajian dan laporan semasa, ikan bandaraya kini merupakan spesies ikan mendominasi sungai-sungai tempatan.
“Ia berpunca daripada pelbagai faktor antaranya disebabkan oleh keupayaan haiwan berkenaan untuk hidup dalam keadaan air kotor dan membiak dalam skala besar tanpa diganggu oleh haiwan pemangsa.
“Bahkan ikan bandaraya memiliki daya ketahanan tinggi kerana mempunyai kulit keras sekali gus melindunginya daripada sebarang ancaman. Ikan bandaraya juga diklasifikasi sebagai salah satu spesies pemangsa kerana tabiat semula jadinya gemar memakan lava dan telur ikan lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














