SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menetapkan sasaran kutipan zakat sebanyak RM268 juta pada Ramadan tahun ini bagi memastikan keperluan golongan asnaf di Selangor terus disantuni.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd. Khaidzir Shahari, daripada jumlah tersebut sebanyak RM220 juta disasarkan untuk kutipan zakat harta manakala RM48 juta lagi bagi zakat fitrah.
Katanya, Ramadan bukan sahaja bulan ibadah dan penghayatan spiritual, malah turut menyuburkan nilai keprihatinan, kasih sayang serta solidariti dalam kalangan masyarakat.
“Ibadah zakat dan sedekah menjadi antara amalan yang amat digalakkan kerana ia bukan sahaja membersihkan harta, malah menjadi jambatan yang menghubungkan golongan berkemampuan dengan mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Iftar Bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan 2026 (IMTIYAZ) malam tadi.
Untuk rekod, kutipan zakat fitrah di Selangor menunjukkan peningkatan apabila RM41 juta direkodkan pada tahun 2024, diikuti RM43 juta pada tahun 2025.
Bagi tahun ini, kadar zakat fitrah di Selangor ditetapkan RM8, RM16 dan RM25 seorang, bergantung kepada jenis beras yang dimakan
Dalam pada itu, Mohd. Khaidzir berkata, pihaknya turut menyasarkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM245 juta tahun ini berbanding RM222.26 juta yang berjaya dikutip pada tahun lalu.
Jelasnya, zakat perniagaan merupakan penyumbang kedua tertinggi selepas zakat pendapatan daripada keseluruhan kutipan zakat di negeri ini pada tahun lalu.
“Ini kerana Selangor mempunyai pelbagai entiti perniagaan termasuk milikan tunggal, perkongsian, koperasi serta organisasi perniagaan lain yang berpotensi menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat,” ujarnya.
Pada majlis sama, sebanyak 38 buah syarikat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM8.22 juta. Selain itu, RM221,320 bantuan agihan turut disampaikan bagi program baik pulih surau termasuk surau sekolah, rawatan dialisis, modal keusahawanan serta dermasiswa pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT). – KOSMO! ONLINE














