PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan individu menggunakan botol plastik untuk ‘cop parkir’ di sebuah kawasan perumahan pangsapuri dikecam orang ramai.
Menerusi hantaran di Thread oleh @dnshfurqan, segelintir penduduk dilihat sengaja meletakkan botol plastik atau kon di kawasan petak yang kosong untuk menandakan tempat letak kereta tersebut sudah ada pemiliknya.
“Kalau mahu parking (tempat letak kereta) private (persendirian) jangan duduk flat,” katanya.
Rata-rata orang ramai yang melihat kejadian tersebut berasa kurang senang dengan tindakan segelintir penduduk kawasan perumahan itu.
Seorang pengguna mendakwa pernah diugut, malah kenderaan mereka dicalarkan hanya kerana meletakkan kenderaan di petak yang kononnya telah dimiliki oleh individu tertentu.
“Dulu pernah duduk dekat kawasan perumahan flat sekejap, baru hari ketiga pindah dekat situ dah kena gores panjang sebab letak dekat dalam kotak,” katanya.
“Masa pantang dekat rumah mentua, saya letak je kereta dekat petak macam biasa dan dalam pukul 1 pagi ada pak cik telefon suruh alih kereta sebab dia dah cop tempat itu,” kata pengguna Sabr0z0.
Seorang lagi pengguna berkata, kalau sesetengah individu mahu tempat letak kereta persendirian, mereka haruslah buat dengan cara yang betul.
“Kalau nak ‘reserved’ juga, buatlah cara yang betul, pergi jumpa pihak pengurusan dan sewa tapak tersebut, bukannya main ‘cop’,” katanya. – KOSMO! ONLINE














