SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah dengan membantu menyewakan sebuah inap desa bagi menyimpan 62 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM3.1 juta.
Pasangan warga tempatan berusia 32 dan 42 tahun itu dicekup di Penaga, Pulau Pinang kira-kira pukul 11 malam semalam dengan mereka dikatakan menerima upah antara RM1,500 hingga RM2,000 bagi tujuan tersebut.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dua suspek terbabit ditahan susulan penahanan seorang lelaki Indonesia berusia 47 tahun sehari sebelum itu di tepi jalan Kampung Permatang Rengan, Kota Kuala Muda dekat sini.
“Dalam tangkapan pertama membabitkan lelaki Indonesia itu, kita berjaya merampas kira-kira 150 gram syabu dalam milikannya serta menjumpai satu kunci rumah.
“Suspek kemudian membawa kita ke sebuah inap desa yang terletak berdekatan sebelum menemui 62 kg syabu berkenaan yang disembunyikan di bawah katil dalam salah sebuah bilik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.
Kata beliau, suspek yang dikatakan tinggal di negara ini sejak tiga tahun lalu dan melakukan kerja-kerja kampung hanya menunjukkan dokumen perjalanannya menerusi telefon bimbit dan siasatan lanjut berhubung kesahihan dokumen tersebut sedang dijalankan.
“Kita percaya suspek berperanan sebagai penjaga dadah tersebut sebelum ia disyaki akan diseludup ke Indonesia melalui jalan laut iaitu menerusi Teluk Bayu, Kota Kuala Muda.
“Dia dikatakan menerima upah kira-kira RM116 atau 500,000 rupiah bagi setiap kilogram syabu disimpan. Suspek juga dipercayai menjual sejumlah kecil syabu itu di pasaran tempatan bagi menampung perbelanjaannya,” ujarnya.
Jelasnya, bekalan dadah tersebut dipercayai diperoleh dari Lembah Klang dan suspek disyaki terlibat dalam kegiatan itu sejak kira-kira tiga bulan lalu.
“Suspek dipercayai menyewa inap desa dua hingga tiga kali iaitu di kawasan dia ditangkap di Kampung Permatang Rengan dan juga di kawasan Penaga, Pulau Pinang sebelum ini.
“Sindiket menggunakan khidmat pasangan suami isteri warga tempatan itu untuk menyewakan inap desa milik penduduk di situ bagi mengelakkan rasa curiga orang ramai dan pihak berkuasa,” katanya.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














