JAKARTA – Seorang pembantu rumah di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan ditahan selepas mencuri wang dan barang kemas bernilai 700 juta rupiah (RM160,187) milik majikannya untuk membeli kereta serta rumah, lapor laman berita Detik News.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Makassar, AKP Hamka berkata, suspek dikenali sebagai RG, 34, melakukan kecurian secara berperingkat sepanjang tempoh bekerja di rumah mangsa dari tahun 2024 hingga 2025.
“Suspek mencuri barang kemas milik majikannya sedikit demi sedikit dari peti besi. Kehilangan harta benda itu hanya disedari oleh mangsa pada Mac lalu, dengan anggaran kerugian mencecah 700 juta rupiah.
“Suspek memberitahu bahawa hasil jualan barang kemas itu digunakan untuk bayaran pendahuluan kereta, membeli rumah dan membaiki kenderaan,” kata Hamka.
Polis masih menyiasat aset lain yang disyaki dibeli menggunakan hasil jualan barang kemas tersebut. – AGENSI














