KUALA LUMPUR – Cabaran skuad badminton wanita negara pada saingan Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark menemui titik noktah selepas tewas 0-3 kepada pasukan pilihan yang juga juara bertahan, China.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Forum Horsens sebentar tadi, China yang dijangka tidak berdepan banyak masalah bermula langkah kanan menerusi perseorangan pertama, Wang Zhi Yi yang menewaskan K. Letshanaa 21-17, 21-18.
Walaupun berdepan pemain No.2 dunia, namun Letshanaa yang menghuni ranking ke-33 tidak menunjukkan rasa gentar apabila memaksa Zhi Yi mengambil masa selama 47 minit bagi mengutip mata pertama China.
Kemudian, beregu muda negara, Carmen Ting-Ong Xin Yee turut mempamerkan aksi melawan biarpun berdepan gandingan No.1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning sebelum tewas 14-21, 21-16, 13-21 dalam tempoh lebih satu jam.
Turun bermain tanpa sebarang tekanan, pasangan No.22 dunia itu berjaya membuatkan Sheng Shu-Tan Ning tersentak seketika apabila mampu mengheret mereka untuk beraksi dalam set penentuan.
Sementara itu, perseorangan kedua negara, Wong Ling Ching yang diharap untuk mengutip mata bagi merapatkan kedudukan turut berdepan nasib sama apabila tewas 10-21, 10-21 kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Chen Yu Fei.
Biarpun tidak dapat melakar kejutan ke atas China, namun pasukan negara sudah berjaya mencapai sasaran melangkah ke suku akhir, sekali gus mengulangi pencapaian terbaik yang dilakukan pada edisi 2010. – KOSMO! ONLINE














