fbpx
BAZAR Ramadan sentiasa meriah dengan pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

Elak berbelanja berlebihan ketika Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMADAN hadir sebagai bulan tarbiah yang mendidik manusia tentang disiplin diri, kesabaran dan kesederhanaan. Ia bukan sekadar perubahan jadual makan, tetapi perubahan cara kita menilai nikmat kehidupan.

Dalam suasana sahur yang sederhana dan berbuka yang penuh syukur, Ramadan mengingatkan manusia bahawa kesejahteraan bukan terletak pada kemewahan, tetapi pada keseimbangan.

Namun realiti masyarakat hari ini sering memperlihatkan gambaran yang berbeza. Di seluruh negara, bazar Ramadan menjadi simbol kemeriahan setiap kali menjelang waktu berbuka. Deretan gerai yang menjual pelbagai juadah tradisional dan moden menarik ribuan pengunjung setiap petang.

Daripada kuih-muih klasik seperti tepung pelita dan akok sehinggalah kepada makanan ‘viral’ yang dipromosikan di media sosial, pilihan makanan seakan tidak berpenghujung.

Fenomena ini menjadikan Ramadan sebagai salah satu musim ekonomi yang paling aktif dalam setahun. Bagi peniaga kecil dan usahawan mikro, bazar Ramadan membuka peluang menjana pendapatan tambahan. Ramai yang menjadikannya platform untuk menguji produk, membina pelanggan tetap dan mengembangkan perniagaan.

Namun dalam kegembiraan ekonomi bermusim ini, muncul juga beberapa persoalan pen­ting. Adakah peningkatan aktiviti ekonomi ini berlaku secara seimbang atau ia sebenarnya mencerminkan budaya perbelanjaan berlebihan yang semakin dinormalisasikan?

Hakikatnya, walaupun waktu makan berkurang sepanjang Ramadan, perbelanjaan isi rumah sering meningkat. Meja berbuka yang sepatutnya sederhana kadangkala dipenuhi pelbagai jenis makanan yang akhirnya tidak habis dimakan. Apa yang sepatutnya menjadi latihan kesederhanaan bertukar menjadi pesta konsumsi.

Pembaziran

Isu pembaziran makanan sepanjang Ramadan juga sema­kin membimbangkan. Data me­nunjukkan rakyat Malaysia membuang lebih daripada 4,000 tan makanan setiap hari sepanjang Ramadan, jumlah yang cukup untuk memberi makan kepada hampir tiga juta orang.

Di bazar Ramadan pula, sejumlah besar makanan tidak habis dijual setiap hari. Kajian Perba­danan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendapati kira-kira 53,000 kilogram sisa makanan dibuang setiap hari di bazar sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja.

Realiti ini menggambarkan satu paradoks yang jelas. Dalam bulan yang menuntut umat Islam menghargai rezeki dan merasai penderitaan golongan kurang bernasib baik, pembaziran makanan masih berlaku pada skala yang besar.

Walau bagaimanapun, terda­pat juga usaha untuk mengatasi masalah ini.

Program seperti MySaveFood yang dilaksanakan di pelbagai bazar Ramadan berjaya menyelamatkan puluhan ribu kilogram makanan yang tidak terjual untuk diagihkan kepada golo­ngan memerlukan.

Sebagai contoh, lebih 46,000 kilogram makanan tidak terjual berjaya diselamatkan dari bazar Ramadan di seluruh negara dalam satu kempen Ramadan.

Inisiatif seperti ini menun­juk­­kan kesedaran ma­sya­rakat terhadap isu pemba­ziran semakin meningkat. Na­mun usaha me­ngubah budaya ber­belanja dan membazir memerlukan perubahan sikap yang lebih mendalam.

Selain pembaziran makanan, cabaran lain yang semakin ke­tara ialah tekanan kewangan isi rumah menjelang Aidilfitri. Persiapan raya sering melibatkan perbelanjaan besar seperti pakaian baharu, dekorasi rumah, kuih raya dan perjalanan balik kampung.

DR. ZURINA

Dalam masyarakat yang semakin dipengaruhi budaya digital, tekanan ini juga datang daripada media sosial. Paparan gaya hidup, persiapan rumah yang mewah dan promosi jualan raya mencipta satu standard sosial yang kadangkala tidak realistik.

Bagi keluarga berpendapatan sederhana dan rendah, keadaan ini boleh menjadi beban. Keinginan menggembirakan anak-anak dan mengekalkan tradisi pe­rayaan kadangkala menyebabkan isi rumah berbelanja melebihi kemampuan sebenar.

Fenomena ‘beli dahulu, bayar kemudian’ yang semakin popular dalam sistem pembayaran digital juga menambah risiko hutang konsumtif.

Tanpa pengurusan kewangan yang baik, kegembiraan Syawal boleh bertukar menjadi tekanan kewangan yang berpanjangan selepas perayaan berakhir.

Di sinilah nilai kesederhanaan dalam Islam menjadi sangat re­levan.

Islam tidak pernah melarang umatnya meraikan kegembiraan atau menikmati rezeki. Namun agama menekankan konsep wasatiyyah iaitu keseimbangan da­lam segala perkara.

Firman Allah dalam Surah al-A’raf ayat 31 mengingatkan manusia supaya makan dan minum tetapi tidak melampaui batas.

Kesederhanaan dalam konteks ekonomi keluarga bermaksud merancang perbelanjaan se­cara bijaksana. Ia melibatkan penyediaan bajet Ramadan, mengutamakan keperluan berbanding kehendak dan menge­lakkan pembaziran.

Ramadan sebenarnya boleh menjadi ‘latihan kewangan’ yang sangat berharga. Jika seseorang mampu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari, sebenar­nya dia juga mampu melatih diri mengawal keinginan berbelanja secara impulsif.

Solidariti sosial

Dalam masa yang sama, Ramadan juga mempunyai potensi besar untuk memperkukuh solida­riti sosial. Amalan sedekah, zakat dan infak membantu mengagihkan kekayaan dalam masyarakat.

Aktiviti berbuka puasa bersama, agihan makanan dan program kebajikan menunjukkan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan ibadah individu, tetapi juga bulan kebersamaan.

Institusi masyarakat seperti masjid, pertubuhan komuniti dan badan bukan kerajaan boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuh budaya ini.

Program literasi kewangan, kempen anti-pembaziran makanan dan inisiatif bantuan komuniti boleh menjadikan Ramadan sebagai ruang pendidikan sosial yang lebih luas.

Lebih penting lagi, keluarga sendiri harus menjadi sekolah pertama dalam mendidik nilai kesederhanaan. Anak-anak perlu diajar bahawa kemeriahan ­Aidilfitri tidak diukur pada jumlah pakaian baharu atau kemewahan hidangan, tetapi pada kebersamaan dan rasa syukur.

Dalam dunia yang semakin dipengaruhi budaya konsume­risme, Ramadan mengingatkan kita bahawa kebahagiaan sebenar bukan terletak pada apa yang dimiliki, tetapi pada apa yang mampu dikawal.

Ketahanan ekonomi negara sebenarnya bermula dari ketahanan kewangan isi rumah. Apabila keluarga mampu mengurus perbelanjaan secara berhemah, mengelakkan hutang tidak perlu dan menghargai setiap rezeki, masyarakat menjadi lebih stabil dan sejahtera.

Ramadan akhirnya bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga. Ia adalah latihan tahunan membina manusia yang lebih berdisiplin, lebih bersyukur dan lebih bertanggungjawab terhadap rezeki yang dikurniakan.

Jika kita benar-benar menghayati roh Ramadan, maka kemeriahan bazar, persiapan raya dan kegembiraan Syawal tidak lagi menjadi beban kewangan.

Sebaliknya ia menjadi manifestasi keseimbangan antara ekonomi, spiritual dan kesejahteraan keluarga.
Kerana pada akhirnya, keber­katan tidak diukur pada banyak­nya yang dibelanjakan, tetapi pada hikmah dalam setiap keputusan.

Dr. Zurina Samsudin ialah Pensyarah Kanan, Johor Business School Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN