fbpx
TREND perubatan semasa menunjukkan bahawa kanser otak boleh berlaku pada semua peringkat umur. – Gambar hiasan

Lebih 400 kes tumor otak setahun, waspada tanda awal penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

OTAK merupakan organ paling penting dalam mengawal keseluruhan fungsi penting tubuh manusia termasuk pergerakan, pertuturan, penglihatan dan daya ingatan.

Namun, organ ini sering kali terdedah kepada ancaman senyap apabila diserang kanser sehingga keadaannya menjadi ketara.

Menurut Pakar Onkologi Klinikal Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Malwinder Singh Sandhu, kanser otak secara umumnya berlaku apabila sel-sel di dalam otak membesar secara tidak terkawal sehingga membentuk ketumbuhan.

“Dari sudut perubatan, ia boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu tumor otak primer yang bermula daripada tisu otak sendiri. 

“Sementara tumor otak sekunder (metastatik) adalah kanser yang merebak daripada organ lain seperti paru-paru, payudara, buah pinggang atau kulit (melanoma),” katanya.

Beliau menjelaskan, bukan semua ketumbuhan yang dikesan bersifat kanser, sebaliknya ada tumor tidak ganas, namun tetap mendatangkan bahaya besar kepada pesakit kerana ruang di dalam tengkorak manusia adalah sangat terhad.

Dr. Malwinder berkata, situasi itu terjadi apabila tumor semakin membesar, ia akan mula menekan tisu otak yang normal, sekali gus menjejaskan pelbagai fungsi penting pada tubuh pesakit.

Mengulas mengenai golongan yang berisiko, beliau berkata, trend perubatan semasa menunjukkan penyakit berbahaya itu sebenarnya boleh berlaku pada semua peringkat umur tanpa mengira had usia. 

“Kanser otak boleh berlaku dari peringkat bayi sehingga warga emas, di mana tumor agresif seperti glioblastoma lebih kerap menyerang individu berumur 55 hingga 75 tahun. Meningioma ini lebih banyak dikesan dalam kalangan wanita pertengahan umur.

“Bagi golongan kanak-kanak pula, tumor otak merekodkan antara kanser solid yang paling kerap berlaku selepas penyakit leukemia, selain turut berisiko menyerang golongan remaja,” jelasnya.

Kebimbangan ini diperkukuhkan lagi menerusi data statistik terkini di Malaysia yang menganggarkan terdapat sekitar 480 hingga 500 kes baharu berkaitan tumor otak dan sistem saraf pusat direkodkan pada setiap tahun.

Angka tahunan itu menganggarkan kira-kira satu hingga dua kes baharu dikesan pada setiap hari.

Menyedari kesan kesihatan tersebut, Dr. Malwinder menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada kerana gejala yang kerap dianggap migrain biasa atau keletihan mungkin menjadi antara salah satu tanda amaran awal penyakit itu.

Menurut beliau, antara gejala yang menuntut perhatian segera termasuklah sakit kepala yang semakin teruk, muntah tanpa sebab, sawan kali pertama, penglihatan kabur, lemah anggota badan, sukar bercakap, perubahan personaliti, mahupun gangguan keseimbangan badan.

Menyentuh aspek penjagaan klinikal pula, tumor jenis glioblastoma diakui sebagai antara kanser yang paling mencabar untuk dirawat kerana beberapa sebab spesifik.

“Pertama, sel glioblastoma menyusup masuk ke dalam tisu otak normal hingga menyebabkan sempadannya tidak jelas, sekali gus menyukarkan pakar bedah membuangnya tanpa menjejaskan fungsi otak.

“Sementara yang kedua, tumor ini mempunyai kadar pembahagian sel sangat tinggi serta kepelbagaian genetik yang menyebabkan ia kebal rawatan,” jelasnya.

Selain itu, organ otak dilindungi oleh blood brain barrier iaitu lapisan yang menghalang banyak ubat daripada sampai ke otak pada kepekatan mencukupi, sekali gus menyebabkan risiko penyakit itu berulang tetap tinggi.

Bagi memastikan pesakit menerima pengurusan terbaik, rawatan standard biasanya akan diputuskan melalui perbincangan multidisiplin melibatkan pakar bedah saraf, pakar onkologi klinikal, pakar radiologi dan pakar patologi.

“Rawatan standard ini merangkumi pembedahan membuang tumor dengan selamat, radioterapi untuk memusnahkan baki sel kanser serta kemoterapi menggunakan ubat seperti temozolomide bagi pesakit glioblastoma,” katanya.

Di samping itu, rawatan terapi sasaran turut ditawarkan mengikut ciri molekul tumor pesakit, selain prosedur tanpa pembedahan gamma knife radiosurgery menggunakan sinaran gamma berketepatan tinggi untuk kes terpilih.

Sebagai pelengkap, Dr. Malwinder menegaskan komitmen serta sokongan padu daripada ahli keluarga amat penting sepanjang proses mendepani fasa pemulihan tersebut.

Hal ini demikian kerana pesakit kanser otak bukan sahaja berdepan cabaran fizikal yang berat, malah mereka turut mengalami perubahan ketara dari segi emosi, daya ingatan dan fungsi harian.

“Ahli keluarga perlu pastikan pesakit mengambil ubat mengikut jadual, hadir temu janji rawatan, bantu aktiviti harian sekiranya perlu serta memantau perubahan emosi mahupun fizikal mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN