ISU pemalsuan dokumen pemain warisan negara tidak memberikan impak yang terlampau negatif buat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebaliknya masih kekal mendapat keyakinan daripada pihak penaja.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd menjelaskan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu masih memiliki ‘nyawa’ bagi melunaskan tanggungjawab bagi memastikan penganjuran dapat dilangsungkan tanpa sebarang masalah.
“Kita baharu buat majlis berbuka puasa dengan penaja, Alhamdulillah positif, penaja masih bersama dengan kita. Penaja berikan keyakinan untuk bersama-sama dengan MFL, jadi pada ketika ini kita tidak merasakan impak besar.
“Apa yang dapat kita lihat juga, perlawanan separuh akhir Piala Malaysia, Piala Cabaran (boleh) nampak sambutan baik daripada peminat tempatan, jadi buat masa ini, kita masih berada di landasan lagi.
“Kita masih lagi mengikut perancangan-perancangan yang telah kita pelan selama ini. Buat masa ini, MFL tidak ada sebarang permasalahan dengan penaja sedia ada,” katanya.
Sebelum ini, kemelut yang berlaku dalam industri bola sepak negara menyaksikan wujud desas-desus penarikan diri sebuah institusi perbankan sebagai penaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
Bagaimanapun, pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan penaja berkenaan ada berhubung dengan badan induk itu, namun ia sekadar meminta penjelasan lanjut berkaitan situasi sebenar.
Sebelum ini, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan kepada tujuh pemain warisan Harimau Malaya, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel seperti diputuskan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Bagaimanapun, kesemua mereka hanya dihalang untuk membuat penampilan pada aksi kompetitif, namun masih diberikan kebenaran untuk menjalani latihan bersama kelab masing-masing.














