KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ketiga memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini hari ini bahawa terdapat kemasukan sebanyak RM6 juta ke dalam akaun Ambank yang didaftarkan atas Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).
Penolong Pengurus AmBank cawangan Amcorp Mall, Nor Paizah Osman, 45, berkata, kemasukan wang itu berlaku antara 21 Februari dan 17 November 2022 menerusi 10 transaksi cek.
Terdahulu, saksi pendakwaan ketiga itu menyatakan, akaun bank AmBank Bersatu tersebut dibuka pada 18 September 2018 dan merupakan jenis akaun semasa. Akaun tersebut mempunyai enam penandatangan sah antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam soalan tambahan pihak pendakwaan mengenai siapa presiden Bersatu sepanjang kemasukan wang RM6 juta dari Februari hingga November 2022, saksi itu menjawab, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, saksi itu tidak dapat mengingati sama ada pihak bank ada menerima apa-apa inkuiri (siasatan) dari Bank Negara (BNM) berhubung akaun Bersatu. Saksi itu turut mengakui kesemua transaksi cek tidak mempunyai masalah.
Ketika disoal balas pihak peguam, adakah kesemua transaksi tersebut transaksi yang biasa, saksi itu bersetuju.
Semalam Pengurus Kewangan CIMB Bank, Cawangan Menara CIMB KL Sentral, Lee Hui Nee memberitahu terdapat kemasukan wang berjumlah RM19.3 juta ke dalam akaun atas nama Bersatu.
Kesemua wang itu dimasukkan menerusi 28 transaksi yang mana akaun tersebut didaftarkan sebagai ‘Current Account-i’ dan jenis perniagaan adalah ‘Political Party’. Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung pada 13 April ini.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin, 79, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukan untuk suapan wang RM225.3 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat sekutu parti itu.
Kesalahan dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil aktiviti haram, iaitu wang lebih RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik parti.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE














