fbpx
RITA RUDAINI

Isu Prof Kangkung: Rita Rudaini diarah fail pembelaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan pelakon, Rita Rudaini memfailkan pernyataan pembelaan berhubung writ saman fitnah oleh dua tokoh akademik yang mengetuai Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (Muafakat), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

Perintah itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Nixon Kennedy Kumbong yang turut mengarahkan pembelaan berkenaan difailkan sebelum atau pada 6 April ini.

Ketika ditemui media selepas tamat prosiding pengurusan kes itu, peguam Mohd. Syakirin Syazwan Mohd. Nayan yang mewakili defendan memaklumkan pihaknya telah memasukkan kehadiran pada 9 Mac lalu.

Turut hadir pada prosiding hari ini, peguam Haris Md Nor mewakili plaintif iaitu Yang Dipertua Muafakat MRSM Sungai Besar, Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor dan Naib Yang Dipertuanya, Dr. Saidah Haris @ Harith.

Haris ketika ditemui berkata, mahkamah bagaimanapun tidak menetapkan tarikh bagi pemfailan pernyataan balas oleh pihak plaintif.

Mahkamah menetapkan 13 April ini bagi pengurusan kes untuk mendapatkan status pemfailan pernyataan pembelan itu.

Plaintif memfailkan saman berkenaan melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates pada 6 Disember 2025.

Saman berkenaan adalah berhubung kenyataan didakwa berbaur fitnah yang dikeluarkan Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar, antaranya berhubung isu ‘prof kangkung’ membabitkan pemimpin Muafakat itu.

Rita turut didakwa mengeluarkan kenyataan yang dipertikaikan termasuk melabelkan kedua-dua plaintif terbabit sebagai bongkak, narsisis, tidak profesional, ‘prof kangkung’, gila jawatan, penipu serta tidak layak menerajui pertubuhan Muafakat.

Saman itu difailkan selepas Rita, 50, memuat naik kenyataan berbaur fitnah menerusi Instagram, WhatsApp dan beberapa platform komunikasi lain.

Menurut plaintif, antara tohmahan dilemparkan termasuk mereka tidak layak memegang jawatan dalam Muafakat dan tuduhan salah urus wang ibu bapa, yang timbul selepas dakwaan badan itu mengenakan kadar yuran tahunan tinggi dan kos tambahan bagi aktiviti lain.

Plaintif menegaskan, kenyataan itu memberi kesan kepada reputasi mereka kerana bilangan pengikut Rita dalam media sosial cukup ramai.

Plaintif juga percaya bahawa defendan bertindak secara semberono dan mempunyai niat tidak baik apabila memuat naik kenyataan tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

Sehubungan itu, kedua-dua plaintif memohon perintah injunksi supaya defendan tidak menerbitkan kenyataan itu lagi dan membuat permohonan maaf berbentuk video selama tiga bulan, memadamkan semua kenyataan berbaur fitnah serta ganti rugi am, teruk, pengajaran serta faedah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN