KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) kini berada pada fasa awal pelaksanaan secara berstruktur dan melibatkan empat fasa.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, DIPN bertindak sebagai kerangka strategik nasional untuk membangunkan industri pertahanan tempatan yang berdaya saing, berdikari dan mampan, selaras dengan keperluan keselamatan negara dan aspirasi Kertas Putih Pertahanan 2020–2030.
Katanya, DIPN menetapkan hala tuju ke arah pengukuhan kemandirian strategik negara melalui pembangunan keupayaan industri tempatan, pengurangan kebergantungan kepada pembekal dan teknologi asing bagi keupayaan pertahanan kritikal dan pengukuhan ekosistem industri pertahanan yang bersepadu.
“Keutamaan pelaksanaan DIPN adalah kepada sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, maritim, automotif ketenteraan, persenjataan dan amunisi, keselamatan siber dan elektromagnetik serta teknologi baharu.
“Tumpuan akan diberikan kepada penstrukturan tadbir urus, pemetaan keupayaan industri tempatan dan pengukuhan mekanisme pelaksanaan,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri T.V Vell Paari mengenai status terkini pelaksanaan DIPN termasuk hala tuju strategik, keutamaan sektor dan sasaran jangka pendek dan panjang dalam membangunkan industri pertahanan tempatan yang berdaya saing.
Adly berkata, bagi pelaksanaan jangka panjang, sasaran adalah peralihan industri daripada peranan sokongan kepada pembuatan bernilai tinggi dan penyertaan dalam rantaian bekalan pertahanan serantau dan global.- KOSMO! ONLINE














