PETALING JAYA – Penentuan rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri di Malaysia hanya boleh diumumkan pada hari cerapan anak bulan Syawal iaitu pada hari ke-29 Ramadan.
Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir menerusi satu kenyataan media memaklumkan, pihaknya mengambil maklum pengumuman oleh Akademi Sains Astronomi, Angkasa Lepas dan Teknologi Sharjah (SAASST) di Emiriah Arab Bersatu serta beberapa negara Arab lain yang menjangkakan 1 Syawal disambut pada Jumaat, 20 Mac 2026.
Bagaimanapun, tarikh Hari Raya Aidilfitri di Malaysia dibuat berdasarkan kaedah cerapan anak bulan menggunakan kriteria imkan al-ru’yah, meskipun terdapat negara Arab yang menjangkakan 1 Syawal 1447 Hijrah jatuh pada 20 Mac 2026.
“Kaedah ini adalah berasaskan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah (berhari raya) kerana melihatnya,’” katanya.
Menurutnya, Malaysia menggunakan kaedah cerapan hilal pada hari ke-29 bulan Syaaban atau Ramadan bagi menentukan permulaan bulan Islam termasuk Ramadan dan Syawal.
Bagaimanapun, permulaan Ramadan di Malaysia adalah pada Khamis, 19 Februari 2026, berbeza dengan beberapa negara Arab yang memulakan puasa pada 18 Februari lalu, sekali gus menyebabkan kemungkinan perbezaan tarikh sambutan Aidilfitri.
Tambahnya, kriteria imkan al-ru’yah menetapkan hilal dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi dua syarat iaitu ketinggian anak bulan tidak kurang daripada tiga darjah ketika matahari terbenam serta jarak lengkung antara matahari dan bulan tidak kurang daripada 6.4 darjah. – KOSMO! ONLINE














