Lega keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumum 31 Mac ini dan bukannya waktu kemuncak raya. Tiada soalan-soalan cepumas daripada saudara mara dan mak cik-mak cik yang ‘kepochi’.
Syukur apabila 413,299 calon tidak perlu mengelap peluh dan ‘bersilat’ menjawab soalan berapa A. Semuanya boleh beraya dengan riang.
Bila raya orang datang ziarah sebab nak tanya khabar saudara dan kenalan yang mungkin sudah setahun tidak ditemui. Bukannya sibuk hendak bertanya masa depan anak orang.
Kalau calon itu dapat banyak A sudah tentu mereka dan keluarga mereka bangga dan ternanti-nanti orang tanya. Tetapi jika sebaliknya, bukankah ia nanti akan memalukan mereka.
Ceritalah pasal emas ke, pasal saham ke, pasal perang Iran-AS, Israel ke. Bukannya hendak merosakkan mood raya tuan rumah atau anak buah yang sememangnya rimas dengan soalan-soalan tersebut setiap kali raya.
Jika sudah tidak ada benda hendak borak, lebih baik diam dan minta diri untuk pulang. Baru lepas beribadat pada bulan Ramadan, tiba-tiba hendak sakitkan hati orang pada bulan Syawal. Kasihan, pahala yang dikumpul akan hilang ibarat air ditadah dalam baldi bocor.
Memang SPM bukan segala-galanya tetapi sudah menjadi lumrah orang kita menjadikan peperiksaan itu sebagai titik mula masa depan seseorang.
Melalui keputusan itu kita akan tahu ke mana kita hendak tuju. Sama ada ke universiti, terus berhenti belajar atau jadi rider.
Lagi satu, kalau bukan mengenai SPM, sudah tentu soalan maut yang biasa muncul di hari raya seperti bila nak kahwin, bila nak ada anak, bila nak kurus dan lain-lain yang mengundang ketidakselesaan serta sakit hati.
Bagi mereka yang berdepan dengan soalan bila hendak kahwin boleh membalasnya dengan jawapan yang menikam hati seperti: “Mak cik, jangan ditanya benda yang dalam rahsia Tuhan. Orang jahil saja yang berbuat begitu.
Jawapan seperti ini juga mungkin berkesan: “Suami mak cik tu ada kosong lagi tiga. Boleh saya jadi madu mak cik”.
Soal jodoh, rezeki dan maut serahkan kepada Allah SWT yang telah merencanakan untuk hamba-Nya sejak azali. Sikap suka bertanya kepada perkara yang menyakitkan hati termasuk dalam perbuatan yang berdosa.
Mengapa ia berdosa kerana ia tiada kena mengena dengan diri kita selain akan membuatkan kita lalai daripada mengingati Allah SWT.
Jangan biarkan Ramadan berlalu begitu sahaja. Ambillah contoh seperti para sahabat menangisi pemergian Ramadan iaitu mereka akan berasa susah hati dan resah selama enam bulan lamanya memikirkan adakah ibadah puasa mereka diterima.
Apa pun keputusan SPM yang diperoleh kelak, jangan jadikan ia suatu kebanggaan kerana masa depan dan perjalanan hidup kalian masih panjang.
Berapa banyak yang terjadi cemerlang SPM tetapi akhirnya hidup merempat. Ramai juga yang gagal dan banyak E tetapi berjaya dalam hidup kerana keberkatan doa orang tuanya.
Begitulah kehidupan yang penuh pancaroba. Kalau hidup ini diumpamakan seperti kapal di laut, anak-anak SPM ini belum lagi menaikinya tetapi baru tiba di tepi pantai untuk bermain pasir.
















