JERLUN – Seramai 10,726 pesawah tempatan di seluruh negara telah menerima pampasan sebanyak RM24.6 juta di bawah Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) sejak diperkenalkan pada September 2024.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, STTP adalah skim takaful yang dirangka khusus untuk menyediakan bantuan kewangan kepada pesawah yang berdaftar.
Menurut beliau, ia melibatkan pampasan yang diberikan kepada pesawah berdaftar yang mengalami kerosakan atau kerugian kekal tanaman padi akibat bencana alam, serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman.
“Skim ini menyediakan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar bagi setiap musim penanaman untuk kerugian akibat bencana alam, manakala bagi kerugian disebabkan serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman, perlindungan yang ditawarkan adalah sehingga RM1,500 sehektar semusim,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan STTP dan perjumpaan bersama pemimpin Peladang di Kawasan Muda di sini kelmarin yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di sini.
Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, skim itu bukan sahaja memberi perlindungan kewangan kepada pesawah, malah membantu meningkatkan daya tahan mereka dalam menghadapi risiko luar jangka yang boleh menjejaskan sumber pendapatan.
“Kami menggalakkan para pesawah untuk melengkapkan proses pendaftaran melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta membuka akaun Agrobank bagi memudahkan urusan tuntutan dan penyaluran pampasan.
“Perlindungan seperti ini amat penting, khususnya dalam menghadapi musim tengkujuh dan risiko banjir yang tidak menentu. Bencana alam seperti banjir dan kemarau boleh berlaku pada bila-bila masa, justeru langkah persediaan awal ini amat penting bagi memastikan kelangsungan sumber pendapatan pesawah terus terpelihara,” ujarnya.
Tambah Tengku Ahmad Badli Shah, Agrobank melalui STTP komited untuk memperkasa sokongan kepada pesawah agar sektor penanaman padi negara kekal mampan, sekali gus menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
Di Kedah, seramai 18,595 pesawah masih belum mendaftar di bawah STTP dan kalangan pesawah diminta tidak melepaskan peluang itu kerana pendaftaran adalah percuma.
Banjir yang melanda kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis pada akhir 2025 telah menjejaskan lebih 11,657 hektar sawah padi dengan anggaran kerugian mencecah hampir RM20 juta.
Kerugian itu membabitkan 5,550 pesawah di Kedah dan Perlis dengan Wilayah Perlis mencatatkan kawasan terjejas paling luas iaitu 5,721 hektar.
Ia diikuti 5,648 hektar di Wilayah II Jitra, 271 hektar di Wilayah III Pendang dan 16.74 hektar di Wilayah IV Kota Sarang Semut. -KOSMO! ONLINE














