PETALING JAYA – Kehilangan pesawat Malaysia Airlines 370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal terus menjadi ‘misteri’ apabila sehingga kini masih tiada sebarang petunjuk baharu ditemui selepas 12 tahun tragedi tersebut berlaku.
Menurut kumpulan sokongan keluarga mangsa, Voice370, hari ini menandakan genap 12 tahun pesawat tersebut hilang daripada radar ketika dalam penerbangan.
Voice370 memaklumkan, pihaknya sebelum ini menyambut baik keputusan kerajaan Malaysia pada Januari 2025 untuk menandatangani perjanjian carian baharu berasaskan konsep ‘No Find, No Fee’ bersama syarikat penerokaan dasar laut, Ocean Infinity.
Kata kumpulan itu, usaha tersebut memberi harapan baharu kepada keluarga mangsa dalam usaha merungkai ‘misteri’ kehilangan pesawat berkenaan.
“Dalam kemas kini carian kepada waris di Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa Ocean Infinity telah meliputi kira-kira 7,571 kilometer persegi kawasan carian utama yang dirancang di selatan Lautan Hindi.
“Selain itu, kira-kira 7,500 kilometer persegi lagi telah diteroka sebelum kontrak rasmi ditandatangani, namun tiada penemuan signifikan direkodkan sebelum kapal carian terpaksa digerakkan ke tugasan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menambah, kontrak carian itu dijadualkan berkuat kuasa sehingga Jun 2026, namun terdapat kemungkinan operasi tidak dapat disambung semula dalam masa terdekat berikutan musim sejuk serta keadaan laut yang semakin buruk di kawasan berkenaan.
Jelasnya, kontrak ‘No Find, No Fee’ bermaksud kerajaan tidak perlu membuat sebarang bayaran sekiranya bangkai pesawat tidak ditemui.
Sehubungan itu, Voice370 menggesa agar sebarang permintaan oleh Ocean Infinity untuk melanjutkan tempoh kontrak carian diberi pertimbangan sewajarnya tanpa sebarang penangguhan.
“Tambahan mudah terhadap kontrak sedia ada bagi melanjutkan tempoh pencarian tanpa mengubah terma utama perjanjian akan membolehkan operasi diteruskan dengan segera,” katanya.
Dalam masa sama, kumpulan itu turut mencadangkan supaya kerajaan Malaysia mempertimbangkan peluang carian serupa kepada syarikat penerokaan laut dalam lain sekiranya usaha semasa tidak menemui hasil.
“Kami akan terus mencari MH370 dan tidak akan berhenti sehingga jawapan sebenar ditemui,” tegas kumpulan itu.
12 tahun lalu, kehilangan pesawat Boeing 777 dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kekal menjadi misteri.
Pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam, sebelum komunikasi terakhir dengan kawalan trafik udara direkodkan ketika pesawat memasuki ruang udara Vietnam.
Tidak lama kemudian, pesawat bernombor pendaftaran 9M-MRO hilang daripada radar awam, analisis data satelit kemudiannya menunjukkan pesawat dipercayai berpatah balik dan terbang jauh ke arah selatan Lautan Hindi.
Usaha pencarian yang melibatkan pelbagai negara serta syarikat persendirian sepanjang lebih sedekad di kawasan Lautan Hindi yang dipercayai menjadi lokasi terakhir pesawat itu menemui jalan buntu, tanpa sebarang jawapan atau penemuan konkrit. – KOSMO! ONLINE














