fbpx
Zainani (dua dari kiri) semasa merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Jabatan Akauntan Negara Malaysia di Masjid Iktikaf Ibnu Sina, Kampung Bukit Merah dekat Tanah Merah hari ini.

Wang tak dituntut cecah lebih RM13 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANAH MERAH – Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) merekodkan lebih RM13 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) setakat Januari lalu melibatkan wang milik individu dan syarikat yang masih belum dituntut oleh pemilik atau waris masing-masing di seluruh negara.

Akauntan Negara Malaysia, Datuk Zainani Jusoh berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira RM7 bilion masih berada dalam akaun amanah WTD, manakala selebihnya telah dilaraskan ke dalam Akaun Hasil Disatukan selepas tidak dituntut dalam tempoh 10 tahun.

“Wang tersebut masih boleh dituntut oleh pemilik atau waris yang sah walaupun telah dimasukkan ke dalam akaun berkenaan.

“Sekiranya terdapat permohonan tuntutan, wang yang telah dilaraskan ke dalam Akaun Hasil Disatukan itu tetap akan dibayar semula kepada pemilik atau waris,” katanya selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Jabatan Akauntan Negara Malaysia di Masjid Iktikaf Ibnu Sina, Kampung Bukit Merah di sini hari ini.

Zainani memberitahu, bagi memudahkan orang ramai membuat semakan dan tuntutan, JANM menyediakan perkhidmatan di kaunter jabatan itu di setiap negeri selain secara dalam talian menerusi portal eGUMIS.

Katanya, pihaknya turut menyediakan kaunter bergerak menggunakan bas JANM bagi membolehkan orang ramai menyemak dan menuntut wang berkenaan dengan lebih mudah.

“Bas bergerak ini akan hadir ke lokasi tertentu bagi memudahkan orang ramai membuat semakan dan tuntutan tanpa perlu hadir ke pejabat JANM,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan JANM tidak pernah melantik ejen untuk menguruskan urusan semakan atau tuntutan WTD.

“Orang ramai perlu membuat semakan sendiri sama ada di kaunter JANM atau melalui portal rasmi.

“Semakan di portal atau aplikasi hanya dibenarkan dua kali sehari bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjadi ejen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN