TIDAK minat berniaga apatah lagi sudah mempunyai pendapatan lumayan membuatkan wanita ini tidak pernah terfikir apa yang dilakukannya ketika ini.
Bagi Nor Mashita Syafri, permintaan arwah ibunya untuk meneruskan legasi perniagaan makanan yang diasaskan sejak tahun 1990 itu kepada empat anak termasuk dirinya langsung tidak pernah terfikir dek akal fikirannya.
Bagi Nor Mashita, 36, dia lebih selesa bekerja dalam bidang real estate (hartanah) dan mempunyai gaji mewah setiap bulan daripada menyambung bisnes warisan ibunya itu.
“Jujur cakap, saya memang tidak pernah langsung terfikir hendak sambung perniagaan arwah emak lepas dia meninggal dunia pada tahun 2010.
“Saya memang orang yang tidak suka dan minat berniaga. Senang kata, saya memang tidak pandai dan tak ada ciri-ciri seorang peniaga,” katanya kepada K-Wanita saat memulakan bicara.
Menurut ibu dua cahaya mata itu, salah seorang kakak kandungnya bernama Watie dengan rela mengambil alih bisnes warisan ibunya itu.
Sejak itu, kakaknya menguruskan semua hal dan urusan perniagaan. Ketika itu ibunya mewarisi tiga kedai makan dengan sembilan orang pekerja.
“Masa kakak saya uruskan perniagaan, beberapa kali juga dia minta saya untuk bantu dan ambil alih perniagaan itu nanti.
“Pun begitu saya menolak pada awalnya sampailah dia benar-benar merayu kerana tiada adik-beradik lain yang mahu.

“Jadi, akhirnya saya setuju dan belajar selok-belok perniagaan dengannya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pada Mac 2021 akibat Covid-19,” katanya.
Akui Nor Mashita, dia ‘tertampar’ dengan takdir Tuhan ketika itu dan tidak pernah menyangka kakaknya itu akan pergi begitu cepat usai menurunkan ilmu perniagaan kepadanya.
Berbekalkan semangat arwah ibu dan kakaknya, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini nekad meneruskan legasi bisnes keluarga itu sampailah ke saat ini.
“Masa arwah mak dan kakak berniaga dulu, mereka tidak pernah letak nama kedai dan apa-apa jenama.
“Jadi bermula 2021, saya letak dan abadikan nama kakak menjadi kedai Watie Ayam Penyet 223.
“Alhamdulillah meskipun bertukar tangan sebanyak dua kali, perniagaan masih mendapat tempat.
“Ayam penyet, geprek dan gepuk menjadi signatur bisnes kami selain lauk-pauk lain,” katanya.
Tambahnya, selain memastikan kualiti rasa masakan yang ditawarkan terus jadi dambaan, dia juga memanfaatkan media sosial bagi mempromosikan bisnes dan jenama
Ayam Penyet Watie 223 yang terletak di Petaling Jaya, Selangor dari semasa ke semasa.
“Atas usaha tanpa kenal erti jemu mengiklan dan promosikan bisnes, kami semakin dikenali, diminati dan perniagaan juga semakin maju.
“Bersyukur dengan rezeki Ilahi, saya berbangga kerana dapat bawa semua pekerja termasuk bekas staf arwah ibu dan kakak berjumlah sembilan orang menunaikan umrah,” katanya menutup bicara.














