SEGAMAT – Seorang lelaki bersyukur tidak terhingga apabila dia bersama empat ahli keluarganya selamat tiba di tanah air selepas terkandas selama enam hari di Madinah akibat pembatalan penerbangan ekoran perang di Asia Barat.
Mohd. Qhairul Nazri Ridwan, 38, berkata, dia bersama isteri, anak, ibu mentua serta adik ipar berlepas ke tanah suci pada 18 Februari dan sepatutnya pulang 10 hari kemudian, namun penerbangan mereka dibatalkan pada saat akhir.
Katanya, mereka terkandas di Madinah kira-kira enam hari setelah mengalami kesukaran pada awalnya kerana terpaksa menunggu di Jeddah dengan dua penerbangan pulang pada 1 dan 2 Mac turut dibatalkan.
“Kami menaiki bas kira-kira pukul 6 pagi pada 4 Mac dari Madinah dan tiba di lapangan terbang Jeddah pada pukul 11 pagi untuk menaiki penerbangan pada pukul 3.10 petang waktu Jeddah.
“Alhamdulillah pada pukul 5.50 pagi semalam (kelmarin), kami selamat sampai di Kuala Lumpur.
“Perasaan syukur dan gembira tidak dapat digambarkan dapat kembali ke tanah air. Penerbangan pun dapat awal sehari daripada jadual asal yang sepatutnya 5 Mac. Alhamdulillah,” katanya dalam nada sebak ketika dihubungi semalam.
Tambah Qhairul Nazri, keadaan di King Abdulaziz International Airport, Jeddah nampak normal dan berjalan lancar.
“Keadaan di lapangan terbang Jeddah berjalan seperti biasa dan nampak normal walaupun ada jemaah dari Indonesia turut menaiki penerbangan yang sama. Mungkin mereka transit di KLIA,” katanya.














