GEORGE TOWN – Aktivis Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat mendesak pihak berkuasa menghentikan serta-merta operasi kilang haram memproses sisa elektronik (e-waste) yang berselindung disebalik perniagaan kitar semula sekali gus mengenakan hukuman berat terhadap pelaku.
Timbalan Pengerusinya, Shandrsegar berkata, desakan itu bertujuan bagi memastikan rantaian aktiviti e-waste haram tersebut dapat diputuskan sepenuhnya demi kelestarian alam sekitar dan keselamatan negara.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini, banyak serbuan dilaksanakan bagi mematahkan kegiatan sindiket haram tersebut yang beroperasi terutamanya di sekitar Pelabuhan Klang di Selangor dengan melibatkan rampasan kontena berisi bahan e-waste bernilai jutaan ringgit.
“Isu ini mula mendapat perhatian meluas susulan pendedahan tular di media sosial dan laporan berita baru-baru ini. Diakui, kerjasama antara rakan media dan pihak berkuasa sebagai kunci utama pendedahan aktiviti ini.
“Justeru, kami menggesa tindakan lebih tegas diambil terhadap pengoperasian kilang-kilang haram yang semakin berleluasa di negara ini sekali gus mengenakan hukuman berat terhadap si pelakunya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Berdasarkan pemerhatian pihaknya, prestasi kerja pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sememangnya wajar dipuji dalam usaha menangani kegiatan tersebut di lokasi seliaan.
“Mereka berjaya memastikan tiada satu pun kontena atau barang e-waste haram yang bolos melalui kawasan seliaan mereka. Kecekapan mereka dalam menahan kontena-kontena yang bermasalah ini harus dipuji,” ujarnya.
Tambahnya, meskipun sudah banyak tangkapan telah berjaya dilaksanakan namun langkah penting dalam membateraskan kegiatan tersebut daripada terus berleluasa adalah dengan menguatkuasakan tindakan penutupan terhadap mana-mana premis atau kilang haram yang terlibat.
Terdahulu, Setiausaha Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, Fatin Nurshahfika Faizul Shah dan Naib Setiausahanya, Siti Nur Hidayu Isnani mengadakan pertemuan bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya bagi membincangkan mengenai kilang haram yang operasi di kawasan Selangor, hari ini.
Hari ini, Kosmo! Online melaporkan pembongkaran satu kegiatan haram oleh pihak berkuasa di sebuah kilang memproses e-waste di kawasan Perindustrian Kapar Bestari, Klang di Selangor, kelmarin.
Serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu turut menemukan sejumlah 1,491 tan e-waste dan peralatan pemprosesan dianggarkan RM6 juta.
Sebelum itu, polis Pulau Pinang turut menahan seorang warga asing dan merampas 13 guni mengandungi campuran pelbagai barangan e-waste bernilai RM350,000 menerusi Op Hazard di Kawasan Industri Ringan Asas Jaya, Bukit Mertajam di sini, kelmarin.
Hasil pemeriksaan mendapati kilang tersebut digunakan untuk memproses barangan e-waste dan barangan lusuh seperti telefon bimbit, tablet serta papan litar elektronik (motherboard).
Pemeriksaan lanjut oleh pihak JAS mendapati kilang berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste tanpa kebenaran yang sah. -KOSMO! ONLINE














