fbpx
Kredit AFP

Magis 1992 bakal berulang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARAPAN Malaysia untuk menamatkan kemarau Piala Thomas selepas lebih tiga dekad kembali menyala apabila aura kebangkitan semakin dapat dilihat, terutamanya bakal mempertaruhkan barisan terbaik di Horsens, Denmark nanti.

Kehadiran perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia turut dijangka menjadi penentu yang mampu mengubah lanskap skuad kali ini untuk memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan terbaik dunia.

Selepas beberapa siri rundingan yang dilakukan antara Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), akhirnya bekas juara All England itu menyatakan persetujuan untuk membantu skuad kebangsaan.

Dari segi moral, pasukan negara sudah pun mendapat kelebihan kerana dibarisi pemain-pemain senior yang memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa, termasuk Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Justeru, ia hanya memerlukan semangat berpasukan serta mentaliti juara daripada barisan pemain dalam usaha membawa pulang trofi teragung sukan badminton itu sejak memenanginya kali terakhir pada 1992.

Bagi penulis, ia bukan sekadar ‘omong kosong’ dan bukan sesuatu yang mustahil memandangkan acara berpasukan sangat berbeza dengan acara individu, sekali gus memberikan peluang seimbang kepada semua pasukan bertanding.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menyuarakan keyakinan Malaysia mampu mengulangi magis 1992 seandainya semua pemain menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi sepanjang kejohanan dwitahunan tersebut.

“Kejayaan (1992) itu akan terulang lagi dengan adanya kombinasi serta kerjasama daripada pasukan dan semua pemain yang sudah pun menyatakan persetujuan untuk menyertai skuad badminton kebangsaan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Lee Zii Jia dan pasukan kerana bersetuju untuk bersama dengan pasukan negara bagi membawa kembali kegemilangan Piala Thomas yang kali terakhir (memenanginya) pada 1992,” katanya.

Sementara itu, percaturan daripada barisan kejurulatihan juga sangat penting dalam kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas kerana ia bakal menentukan hala tuju pasukan sepanjang perlawanan berlangsung.

Memandangkan ranking dunia Zii Jia ketika ini membolehkan Malaysia untuk menurunkannya selaku perseorangan ketiga, penulis menganggap ia merupakan satu kelebihan seandainya dia diturunkan pada aksi penentuan.

Perkara itu diakui sendiri legenda badminton tanah air, Datuk Rashid Sidek yang menyifatkan pemain berusia 28 tahun itu amat sukar untuk dikalahkan sekiranya dia berada pada prestasi terbaik.

“Kalau dia jadi perseorangan ketiga ketika berada pada prestasi terbaiknya, memang kuat. Nama Zii Jia sahaja sudah memberikan tekanan kepada pasukan lawan. Walaupun ada isu kecederaan tetapi aura itu masih ada.

“Selain itu, dalam Piala Thomas, nampak kuat atas kertas belum tentu boleh menang. Apa yang penting adalah semangat dan itu boleh dilihat ketika India dan Denmark menjadi juara,” ujarnya.

Kesimpulannya, gabungan pengalaman pemain-pemain perseorangan serta keampuhan gandingan beregu lelaki negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN