PETALING JAYA – Seorang wanita warga emas yang mesra dipanggil ‘Am’ menyediakan dana khas berjumlah RM4,000 untuk membiayai kos pengurusan jenazahnya sendiri.
Menerusi perkongsian @Hafeez_Ruslan03official, neneknya yang bekerja sebagai tukang masak dan penoreh getah menyediakan jumlah tersebut yang diperoleh hasil keuntungan menjual wajik durian.
Katanya, neneknya dikenali sebagai seorang individu yang penyayang, tidak pernah memarahi kanak-kanak nakal, malah sentiasa menasihati mereka.
“Mungkin itulah punca ‘Am’ disegani ramai, bukan kerana pangkat atau darjat tetapi kerana akhlaknya kepada orang sekeliling,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.
Jelasnya, momen paling menyedihkan apabila meja makan panjang yang selalu dihidangkan dengan lauk pauk dijadikan tempat jenazah warga emas tersebut dikafankan.
“Meja yang sama kami semua sembilan saudara bergelak ketawa sambil menikmati air tangan ‘Am’,” katanya.
Wanita itu menghembuskan nafas terakhirnya pada 22 Februari lalu dan pemergiannya dipermudahkan di bulan Ramadan yang mulia. – KOSMO! ONLINE














