fbpx
Vivy dan Fadzarudin ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada sebutan prosiding lalu.- GAMBAR FAIL

Vivy Yusof, suami dapat pasport sementara buat visa tunai haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pengasas FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet), Datin Vivy Yusof dan suaminya untuk mendapatkan pasport bagi membolehkan mereka membuat visa untuk menunaikan haji.

Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Shaarvin Raaj yang mewakili Vivy dan Datuk Fadzarudin Shah Anuar untuk mendapatkan pasport bermula hari ini.

“Mahkamah membenarkan pasport antarabangsa pemohon dilepaskan (diserahkan) bermula hari ini (bagi membuat visa). Kedua-dua pemohon perlu menyerahkan semula kepada mahkamah pada 9 Mac ini,” kata Hakim itu.

Shaarvin berkata, selepas visa diperoleh, pasangan tersebut akan menempah tiket untuk menunaikan haji.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazawani Mohamad Sobry berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai permohonan pasport tersebut dan tidak membantah.

Sebelum ini, Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.

Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran RM8 juta daripada akaun bank milik FashionValet kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.

Kesalahan dilakukan di sebuah bank di Bukit Damansara, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh didenda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI