PETALING JAYA – UMNO mengumumkan membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung termasuk mana-mana individu yang ingin bersama semula dengan perjuangan parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sempena keberkatan Ramadan, UMNO melihat bulan mulia itu sebagai waktu terbaik untuk umat Islam bermuhasabah serta memperbaiki hubungan dan memperkukuh ukhuwah.
Menurut beliau, kesempatan itu juga dilihat sesuai untuk mempertaut kembali tali perjuangan dalam kalangan ahli parti.
“Hakikatnya, sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada kekuatan struktur organisasi, tetapi terbina atas sokongan, dokongan dan kebersamaan seluruh ahlinya di setiap peringkat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Ahmad Zahid berkata, atas semangat tersebut, UMNO membuka pintu Rumah Bangsa seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dikenakan tindakan disiplin untuk kembali bersama parti.
Tambahnya, mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan UMNO juga dialu-alukan untuk menyertai parti berkenaan.
“Dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan dan perbezaan yang lalu dimaafkan sepenuhnya demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar UMNO,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses tersebut dengan segera mengikut tatacara yang bersesuaian berdasarkan Perlembagaan UMNO. – KOSMO! ONLINE














