PETALING JAYA – Seorang pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut selepas didakwa menemui ulat dalam makanan yang dibeli di bazar Ramadan membuatkan dia serik untuk membeli juadah.
Menerusi hantaran di Threads oleh @Urfvrnaa, dia berkongsi video menunjukkan hidangan laksa yang di dalamnya kelihatan ulat kecil bersama daun limau purut dan hirisan bawang.
Katanya, dia bernasib baik kerana menyedari kewujudan ulat tersebut sebelum sempat menjamah makanan berkenaan.
“Nasib baik aku nampak. Ya Allah, sebab inilah aku takut beli makanan dekat bazar,” ujarnya.
Perkongsian itu menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang turut berkongsi pandangan masing-masing di ruangan komen termasuk menjelaskan ulat tersebut biasanya terdapat pada daun limau purut atau daun herba tertentu.
Seorang pengguna @Sarinizainal berkata, ulat tersebut sering ditemui pada daun limau purut atau daun selasih dan pernah berdepan situasi sama ketika memasak.
“Ulat ni memang ‘favourite’ (kesukaan) dia daun limau purut, basil. Pernah je masak, siap tumis, letak dalam pinggan tetapi dia masih hidup,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, @Uzaihasra, berpendapat penemuan ulat itu mungkin menunjukkan sayur yang digunakan tidak disembur racun perosak.
“Ni tak apa, angkat dan boleh letak dekat pokok luar. Ini bermakna sayur yang diguna tu tak ada ‘pesticide’, baguslah,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE














