PETALING JAYA – Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu dipertahankan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan berkata, banyak kemajuan dan pembangunan telah dilaksanakan kerajaan secara bersama dalam kerangka Madani sekali gus menunjukkan hasil positif sepanjang hampir empat tahun memerintah.
Katanya, prestasi itu boleh dilihat melalui pengukuhan mata wang ringgit dan ekonomi negara yang kini meningkat.
“Saya setuju kita semua menerukan kerjasama (PH-BN), kalau dilihat sekarang, banyak perkara yang sudah dilaksanakan kerajaan. Lihat pengukuhan ringgit Malaysia, lihat kemajuan yang kami lakukan. Banyak rang undang-undang, banyak akta-akta yang kita sudah buat pindaan dan ambil tindakan.
“Kerajaan Madani adalah kerajaan yang berfungsi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Lindung 2026, di sini hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menunggu dua keputusan penting daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memuktamadkan strategi pilihan raya.
Keputusan pertama adalah sama ada pilihan raya umum dan negeri perlu diadakan serentak atau sebaliknya, dan satu lagi sama ada bertanding di bawah rangka kerja gabungan kerajaan Madani yang sedia ada atau tidak.
Ramanan menegaskan, walaupun ada segelintir ahli di peringkat akar umbi menolak kerjasama ini, ia tidak memberi kesan besar terhadap kestabilan kerajaan.
“Kalau kita lihat dari segi akar umbi, PKR ada sejuta ahli. Adakah kita sudah dapat pandangan semua daripada mereka? Jadi pandangan itu, pandangan akar umbi yang mana?
“Mungkin daripada satu golongan yang kecil, mungkin ada. Tapi kalau kita lihat keseluruhan, tidak menjadi isu,” katanya.
Sementara itu, mengenai sasaran 28 kerusi PKR di Johor, Ramanan berkata, beliau tiada masalah dengan kenyataan dikeluarkan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa memandangka beliau memegang portfolio Ketua PKR Johor.
“Kita sambut baik dan kita sokong,” katanya. – KOSMO! ONLINE














