PETALING JAYA – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sejumlah mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM412,740 selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Klang Utama, Klang, Selangor pada Selasa lalu.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Amanjit Singh berkata, serbuan kira-kira pukul 4 petang itu dilakukan sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 4 PGA Semenyih menerusi Op Taring Charlie Intra/Inter selepas menerima maklumat risikan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di premis tersebut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 32 tahun.
“Kedua-dua lelaki tersebut tidak memiliki permit yang sah berkaitan penyimpanan dan penjualan mercun serta bunga api.
“Turut dirampas sejumlah 272 kotak besar berisi mercun dan bunga api bersama sebuah lori,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Amanjit berkata, semua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957, UUK 3, Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (MP Klang) 2007 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE














