fbpx
Lori dan beberapa peralatan dirampas PGA dalam operasi Op Taring Palma di Pelabuhan Klang semalam. - IHSAN PGA

PGA rampas minyak sawit mentah RM535,050

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELABUHAN KLANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 36,045 liter cecair disyaki minyak sawit mentah bernilai RM535,050 yang dipercayai untuk dijual ke pasaran gelap dalam serbuan di Kawasan Perusahaan Bandar Sultan Suleiman 2 di sini semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Amanjit Singh berkata, serbuan Op Taring Palma kira-kira pukul 1 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 4 PGA dengan bantuan pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Tengah serta SJBD Klang Utara.

Menurut beliau, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dan seorang warga Sri Lanka berusia 49 tahun yang dipercayai sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak sawit mentah tanpa kebenaran.

“Turut dirampas sebuah lori treler tangki 40 kaki serta beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek tempatan bekerja sebagai pemandu lori tangki dengan pendapatan bulanan kira-kira RM3,000 selain dipercayai menerima bayaran RM35 bagi setiap 15 liter minyak sawit mentah yang dijual secara haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek warga Sri Lanka pula berperanan sebagai pembantu yang memindahkan minyak sawit mentah dari lori tangki ke tong dram dengan gaji sekitar RM1,700 sebulan dan dipercayai terlibat dalam kegiatan itu sejak lapan bulan lalu.

Katanya, minyak sawit mentah berkenaan dipercayai diperoleh dari beberapa kilang pemprosesan di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor sebelum dijual kepada pembeli pasaran gelap di sekitar Selangor.

“Minyak sawit mentah yang dijual di pasaran gelap itu dipercayai digunakan sebagai bahan campuran minyak pelincir kenderaan tiruan selain untuk upacara keagamaan tertentu,” ujarnya.

Susulan itu, kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dan MPOB Wilayah Tengah untuk siasatan lanjut mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) serta Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN