Sebelum dikenali dengan bisnes ayam goreng lokal popular yang namanya diambil sempena nama anak lelakinya, Sarah merupakan bekas pekerja bank dan pengusaha bakeri yang terkesan pandemik Covid-19.

Sarah bakal melangkah ke global dengan ‘resipi anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TINDAKAN menolak permintaan anak lelakinya yang hendak makan ayam goreng berjenama Barat popular dua tahun lalu tidak disangka menjadi permulaan dan asbab segalanya.

Bagi Lailatul Sarahjanna Mohamad Ismail, 35, dia terpaksa menolak permintaan anak lelakinya yang bernama Ahmad Thaqif itu sebagai solidariti terhadap Palestin.

Maka, bermulalah beberapa kali percubaan dia masuk ke dapur memasak ayam goreng mengikut resipinya sendiri khas untuk anak sulungnya itu.

Beberapa kali ‘direject’ anaknya, ibu kepada dua anak itu tidak mengalah, malah tampil dengan idea menarik termasuk bungkusan menarik tersendiri ‘ala-ala’ jenama tersebut.

Itulah saat di mana anaknya akhirnya bersetuju dan ‘approved’ menu ayam goreng tersebut dan bermula dari situ jugalah tertubuhnya jenama lokal Ahmad’s Fried Chicken yang diambil daripada nama puteranya itu.

Berkesempatan bertemu wanita hebat ini dalam satu acara khas bersempena Ramadan baru-baru ini, dia yang mesra disapa Sarah bersyukur dan tidak pernah menyangka ‘percubaan’ suka-sukanya itu menjadi realiti luar biasa.

Tumbuh pesat sejak diperkenalkan pada Ramadan 2024 dan kini memiliki 57 buah outlet dalam negara, jenama Ahmad’s Fried Chicken turut menuai perhatian sebagai jenama tempatan yang berani dan bijak memanfaatkan perubahan pola konsumsi masyarakat.

Kejayaannya bahkan sehingga mendapat liputan media antarabangsa antaranya Bloomberg.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah atas pencapaian dan rezeki yang diberikan ini. Terima kasih juga kepada para pelanggan, pekerja dan siapa saja yang ada dengan kami. Meskipun pada awal kewujudan dan tidak dinafikan hingga ke saat ini masih ada yang berkata kami wujud disebabkan ‘menunggang dan menempel’ isu boikot, tidak mengapalah.

“Cuma apa yang saya dan suami niatkan, kami mahu buat sehabis baik dalam menawarkan sesuatu kepada rakyat Malaysia serta buktikan negara kita juga mampu ada produk makanan segera setanding dengan jenama Barat,” katanya kepada K-Wanita.

SARAH, suami dan dua anak mereka.

Jelas anak jati Perak dan bekas pekerja bank ini, dia mahu Ahmad’s Fried Chicken menjadi jenama yang dekat dengan setiap isi keluarga bertepatan slogan ‘Jenama Kita, Rasa Kita, Semangat Kita’.

Menyorot sedikit kisah sebelum dirinya menceburi perniagaan francais tersebut, pengasas bersama itu memberitahu, dia dan suaminya, Taufik Khairuddin sebelum itu sama-sama mengusahakan perniagaan bakeri dalam talian.

Jelasnya, perniagaan bakeri tersebut pada awalnya mendapat tempat dan menguntungkan tetapi merosot teruk semasa pandemik Covid-19 membadai.

Maka dari situlah, dia mula beralih ke perniagaan ayam goreng resipi yang ‘diluluskan’ anak lelakinya itu sejak 2024 dengan mula berniaga menggunakan gerai di hadapan tapak sebuah pasar raya popular selama tiga bulan.

“Semasa kami berniaga ayam goreng dipersetujui anak sulung itu, kami cuma berbekalkan sebuah wagon sahaja.

“Alhamdulillah ayam goreng kami diterima dan laku keras ketika itu hingga pernah capai nilai jualan lebih RM6,000 sehari sebelum Ahmad’s Fried Chicken tertubuh,” katanya.

Lebih membanggakan, berbekalkan modal RM700,000, dia dan suaminya berjaya menubuhkan bisnes Ahmad’s Fried Chicken yang hingga kini semakin bertumbuh pesat dan bakal melebarkan sayap ke beberapa negara luar tidak lama lagi.

Antara negara yang disasarkan ialah Singapura, China dan sebahagian negara Asia Barat.

Berkongsi keunikan perniagaan tersebut, Sarah memberitahu syarikatnya komited dengan keupayaan mereka berinovasi dalam aspek rasa agar menepati cita rasa tempatan.

Hingga kini, mereka mempunyai lebih 25 menu bercita rasa Malaysia termasuk pelancaran menu Golden Chicken bersempena bulan Ramadan tahun ini.

Sepanjang bulan Ramadan ini, syarikat turut mengambil peluang untuk melakukan tanggungjawab sosial kepada golongan memerlukan.

Golden Chicken diperkenalkan dalam kempen sebagai ‘ayam sekor’ (seekor) istimewa yang direka khusus untuk dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan, selari semangat Ramadan yang menekankan nilai kebersamaan, perkongsian dan kasih sayang.

Pelancaran tersebut ujar Sarah, turut menandakan permulaan kempen Ramadan di Ahmad’s yang menawarkan pengalaman makan lengkap sepanjang bulan Ramadan, daripada berbuka puasa, moreh hinggalah sahur.

Diaju soal cabaran setelah hampir dua tahun beroperasi dalam pasaran, Sarah memberitahu dia dan suami turut pernah berdepan isu ciplak logo dan trademark perniagaannya sekali gus menjadi pengajaran terhadapnya.

Cabaran lain ujarnya termasuklah usaha mengekalkan jenama dari segi kualiti dan mutu rasa mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.

Sarah turut mengakui pengurusan masa menjadi cabaran lain memandangkan dia juga dalam masa sama menguruskan anak-anak dengan bantuan keluarga selain memegang amanah sebagai pemilik perniagaan.

Dari segi perancangan masa depan syarikat, kata Sarah, Ahmad’s Fried Chicken bakal menubuhkan Ahmad’s Academy yang berperanan sebagai pusat pengajaran dan pendidikan kepada semua staf.

“InsyaAllah 2026 ini akan wujudnya Ahmad’s Academy yang akan menawarkan modul mengenai latihan dan kursus berperingkat kepada semua staf kami.

“Ia akan jadi program berkala dan diwajibkan kepada kesemua staf secara formal berbanding pengajaran tidak formal yang kami lakukan sebelum ini,” terang Sarah.

Berkongsi rutin sepanjang bulan Ramadan ini, Sarah memberitahu dia bekerja seperti biasa dan berulang alik ke pejabat di Cyberjaya, Selangor.

Pada masa sama, syarikat juga melaksanakan program khidmat masyarakat seminggu sekali dengan berkongsi rezeki dan menu ditawarkan kepada golongan memerlukan.

“Bulan puasa ini saya cuba usahakan sedikit masa untuk bersama keluarga dan bertarawih setiap malam meskipun sibuk bekerja di sebelah pagi,” katanya.

Sarah juga menyeru dan menjemput semua rakyat Malaysia untuk hadir dan mencuba sendiri menu yang mereka tawarkan sekali gus sebagai tanda sokongan kepada produk bumiputera tempatan.

Pada masa sama, Sarah turut memohon sokongan pihak kerajaan khususnya kementerian terlibat untuk memberi sokongan dan usaha sama dalam membantu melebarkan sayap serta sama-sama membawa jenama lokal ke peringkat global kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN