fbpx
NORHADILAH menunjukkan lalat di pelekat ketika ditemui di Kampung Ulu Air Kuning, Gemencheh, Tampin semalam. – NOR AINNA HAMZAH

[VIDEO] ‘Saya terpijak lalat ini sampai bunyi meletup-letup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAMPIN – Seorang peniaga terpaksa membatalkan sebanyak 200 tempahan kuih ros serta muruku sempena perayaan berikutan kediaman ibunya di Kampung Ulu Air Kuning, Gemencheh, di sini diserang lalat sejak lebih seminggu lalu.

Penjual berkenaan, Norha­dillah Hadzir, 37, berkata, jualan berkenaan sudah dibuat sejak tiga tahun lalu untuk pendapatan sampingan ketika Ramadan kerana perniagaan sebenarnya adalah sebagai perancang perkahwinan serta program.

Namun ujarnya, usaha mereka menyiapkan tempahan tersebut terbantut apabila bancuhan se­perti enam kilogram (kg) tepung, tiga kg santan dan bahan lain dimasuki ratusan lalat minggu lalu.

“Kebiasaannya memang buat tempahan ini di rumah mak, Baimah Mued, 75. Disebabkan isu lalat yang terlalu banyak ini, mak tidak benar teruskan kerana bimbang kuih-muih yang dibuat mengundang masalah kepada pembeli. Takut keracunan pula.

“Nilai jualan sekurang-kurangnya RM5,000 ‘hangus’. Bancuhan lebih RM200 juga terpaksa dibuang begitu sahaja. Ikutkan, ada beberapa kilang ayam berhampiran kampung ini. Ada sudah lebih 20 tahun, ada yang baharu beberapa tahun.

“Sejak dua tahun lalu, ada masa lalat akan menyerang se­perti ini, kali ini kami sudah tidak tahan lagi apabila diserang ketika Ramadan. Bimbang juga jika tidak diatasi sekarang, tiada te­tamu datang beraya nanti akibat ribuan lalat ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Izzati Ismail, 35, berkata, disebabkan masalah lalat yang sudah masuk hari kelapan itu, dia terpaksa menyapu serta mengemop lantai rumah setiap empat jam.

“Kalau tidak nanti mahu jalan pun susah. Terpijak lalat ini sampai bunyi meletup-letup. Memang terganggu serta rimas dan geli dibuatnya.

“Saya juga terpaksa berbuka di kedai jauh sikit dari kediaman kerana nak masak pun berperang dengan lalat. Air kolah saya pun terpaksa dibuang kerana banyak lalat mati di dalamnya,” katanya.

Dia amat berharap agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan lebih tegas berikutan masalah lalat itu mengganggu penghuni di 150 buah kediaman di kampung itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kampung Air Kuning, Razali Bujal berkata, masalah itu sudah terlalu lama berlaku lebih-lebih lagi jarak kilang dengan rumah penduduk kurang 100 meter.

“Kita dah adukan kepada pihak berkaitan dan sebagai langkah awal, kita turut melakukan aktiviti semburan kabus bagi mengatasi isu ini. Kita harap isu ini dapat diatasi segera dengan membuat pemeriksaan ke atas kilang-kilang ayam yang terletak berhampiran,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI