ALOR SETAR – Sikap rakyat tempatan yang terlalu ‘memberi muka’ kepada etnik Rohingya menjadi punca utama komuniti itu mampu mengusahakan dan mengembangkan pelbagai jenis perniagaan di negara ini.
Segelintir rakyat tempatan sanggup menjadi proksi dengan menyewakan premis perniagaan kepada komuniti Rohingya serta membenarkan penggunaan nama serta maklumat diri untuk pembelian kenderaan.
Ada antara etnik itu yang mengusahakan kedai runcit, perniagaan di pasar borong serta mengendalikan premis mencuci kenderaan.
membenarkan warga asing berstatus pelarian itu menggunakan tanah bagi tujuan penempatan serta pembinaan struktur kediaman.
Seorang penduduk, Mohd. Asan Ahmad, 59, berkata, pertambahan komuniti Rohingya di kawasan tertentu berlaku secara beransur-ansur sejak puluhan tahun lalu sehingga jumlah mereka kini dilihat semakin ketara.
“Dahulu hanya beberapa keluarga, tetapi sekarang semakin ramai. Ada yang tinggal di kampung di sini dengan rumah disewa terletak berdekatan antara satu sama lain seolah-olah membentuk komuniti sendiri.
“Kita lihat ada yang berniaga, bekerja dan menjalankan aktiviti harian dalam kelompok mereka. Kita juga tertanya-tanya bagaimana keadaan ini boleh berkembang tanpa kawalan yang lebih ketat,” katanya semalam.
Menurutnya, isu itu tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada etnik Rohingya kerana terdapat rakyat tempatan yang memberi ruang kepada mereka untuk menjalankan perniagaan.
“Kalau tiada orang tempatan yang menyewakan kedai atau menjadi proksi, sukar untuk mereka mengembangkan perniagaan.
“Ada yang melihat perkara ini sebagai peluang menjana pendapatan tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap masyarakat setempat,” ujarnya.
Pengerusi Suara Orang Changlun, Mohd. Zaidi Desa berkata, terdapat beberapa premis di kawasan Changlun yang dipercayai diusahakan oleh etnik Rohingya termasuk premis mencuci kenderaan.
“Apabila ditanya, mereka hanya mendakwa bekerja di situ sedangkan kita percaya ada antara mereka sebenarnya mengusahakan perniagaan tersebut. Orang kita sendiri yang memperoleh keuntungan hasil menyewakan premis kepada mereka.
“Ada premis yang dibina di kawasan rizab jalan atau sungai disewakan kepada Rohingya. Mungkin orang tempatan tidak berminat menyewanya dan hanya golongan itu sanggup membayar sewa sehingga melebihi RM2,000 sebulan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebahagian etnik Rohingya memperoleh kad sim telefon bimbit memandangkan mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang diiktiraf untuk tujuan pendaftaran.
“Persoalannya, jika nombor tersebut digunakan bagi tujuan jenayah, siapakah yang akan dipertanggungjawabkan?” katanya.
Selain itu, beliau mendakwa ramai dalam kalangan etnik berkenaan memandu kenderaan tanpa lesen yang sah dan keadaan itu dilihat semakin berleluasa.
“Baru-baru ini saya melihat seorang wanita dipercayai etnik Rohingya memandu kereta sambil membawa anak-anaknya. Persoalannya, jika berlaku kemalangan, bagaimana dengan tuntutan insurans dan liabiliti pihak yang terlibat?
“Kalau berlaku kemalangan dengan pengguna jalan raya tempatan, siapa pula yang akan menanggung kerugian jika pemandu terbabit tidak mempunyai lesen atau perlindungan insurans yang sah?” soalnya.
Seorang lagi penduduk, Rahimah Ismail, 45, berkata, masyarakat tidak menolak aspek kemanusiaan dalam membantu golongan pelarian, namun undang-undang negara perlu dihormati dan dikuatkuasakan secara adil tanpa mengira status seseorang.
“Kita tidak menolak nilai kemanusiaan, tetapi pada masa sama kerajaan perlu memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Rakyat tempatan yang bertindak sebagai proksi atau membantu aktiviti yang menyalahi undang-undang juga perlu dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, satu perumahan flat yang didakwa dibina warga asing dipercayai Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat menarik perhatian ramai yang mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz dilaporkan berkata, flat haram itu dipercayai berpunca daripada tindakan pihak pemilik tanah membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan itu dan pembinaan struktur tanpa kelulusan.
Katanya, penempatan itu turut menyediakan kemudahan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik.














