fbpx
Gambar hiasan

60 peratus ahli KWSP dijangka capai simpanan asas RM390,000 apabila bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kira-kira 60 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpotensi mencapai tahap simpanan asas sekitar RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang 2030.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, setakat tahun lalu, seramai 3.1 juta atau 41.2 peratus ahli sektor formal warga Malaysia berusia 18 hingga 55 tahun mencapai tahap simpanan asas.

“Angka itu menunjukkan masih terdapat 4.42 juta atau 58.8 peratus ahli sektor formal warganegara yang belum mencapai tahap simpanan minimum yang disasarkan bagi memastikan kecukupan simpanan apabila bersara.
“Kerajaan melalui KWSP komited mengawal hakisan simpanan asas akibat pengeluaran awal dengan memperkenalkan penanda aras RIA iaitu ‘Retirement Income Adequacy’,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Ng Keng Heng berhubung anggaran kerajaan mengenai peratusan warga negara yang dijangka tidak mencapai tahap simpanan minimum menjelang umur persaraan.

Jelasnya, RIA berfungsi sebagai panduan kecukupan simpanan persaraan bagi membantu ahli menilai kedudukan simpanan mereka sebelum membuat keputusan pengeluaran, sekali gus menggalakkan perancangan kewangan jangka panjang yang lebih berhemah.

Pada masa sama, pelbagai langkah untuk memperkukuhkan simpanan terus dilaksanakan termasuk penstrukturan akaun KWSP merangkumi pengenalan Akaun Fleksibel, galakan caruman sukarela serta promosi lebih aktif melibatkan inisiatif seperti i-Saraan dan kemudahan tambah nilai simpanan.

KWSP juga mempergiatkan kempen kesedaran bagi menggalakkan ahli supaya tidak membuat pengeluaran penuh atau secara sekali gus yang boleh menjejaskan pendapatan semasa persaraan, sebaliknya memilih opsyen pengeluaran secara bayaran bulanan.

Tambahnya, pendekatan itu penting bagi memastikan simpanan persaraan dapat bertahan lebih lama dan memberi manfaat berterusan kepada pencarum selepas mereka menamatkan tempoh pekerjaan.

“Kerajaan mahu memastikan ahli mempunyai sumber pendapatan yang lebih mampan selepas bersara dan pada masa sama menggalakkan mereka mengekalkan simpanan lebih lama dalam akaun persaraan agar manfaat dividen dapat terus dimaksimumkan,” katanya.

Usaha itu juga selaras dengan matlamat jangka panjang untuk meningkatkan tahap keselamatan kewangan rakyat pada usia persaraan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI