PETALING JAYA – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberi sokongan sepenuhnya terhadap memorandum penduduk Kampung Datuk Keramat yang mahu menukar pegangan status tanah mereka.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Johari berkata, penduduk mahu status tanah mereka digazetkan kepada Hak Milik Kekal Tanah Rizab Melayu daripada status sekarang iaitu Pegangan Pajakan (Leasehold).
“Penduduk Kampung Datuk Keramat berhasrat membawa perkara ini kepada pihak Kerajaan Persekutuan, khususnya kepada Pejabat Pengarah Tanah & Galian WP, di mana PTGWP merupakan agensi di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Hampir 100 peratus penduduk yang memiliki tanah berstatus leasehold di Kampung Datuk Keramat ini adalah terdiri daripada orang-orang Melayu,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, apa yang penduduk mahu adalah adalah supaya tanah Kg. Datuk Keramat ini, tidak sewenang-wenangnya dijual kepada mana-mana pihak oleh generasi akan datang.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, di mana Kampung Datuk Keramat berada di dalam Parlimen Titiwangsa, saya memberikan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi kepada mereka,”tegasnya.
Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa memorandum tersebut telah diserahkan oleh Persatuan Kebajikan Pemilik dan Pewaris Hartanah Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur.
Ujar beliau, perwaris Datuk Keramat yang merupakan penduduk-penduduk di kampung berkenaan. – KOSMO! ONLINE








