LONDON – Pengurus Liverpool, Arne Slot menganggap pasukannya sekali lagi mengulangi cerita lapuk apabila menerima kejutan sensasi selepas tewas 1-2 kepada pasukan tercorot, Wolverhampton Wanderers awal pagi semalam.
Cerita berbeza buat Wolves yang sebelum ini berjaya mencuri empat mata penting ketika menentang dua kelab di kelompok empat terbaik iaitu menang 2-0 ke atas Aston Villa dan mengikat pendahulu liga, Arsenal 2-2.
Slot mengakui keputusan di Stadium Molinexu itu menjadi satu lagi detik malang buat pasukannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mungkin boleh menjejaskan peluang mereka menamatkan saingan di kedudukan terbaik.
“Kisah lama yang sama. Pada akhirnya, kami hanya menjaringkan satu gol dan mereka menghasilkan dua jaringan dan ia beri satu lagi rumusan tentang permainan kami.
“Kami mampu menguasai lebih banyak berbanding pasukan lawan, mampu mencipta peluang, namun bergelut untuk menjaringkan gol. Jangkaan saya berubah kerana saya mengharapkan sesuatu yang lebih memandangkan di mana kedudukan kami sekarang.
“Sudah pasti keputusan seperti ini tidak akan membantu kami. Sekarang ada sembilan perlawanan lagi dan kami kena elak berlakunya situasi seperti ini lagi,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Salah berjaya menyamakan kedudukan selepas tuan rumah memperoleh gol pembukaan daripada Rodrigo Gomes, namun Andre muncul wira Wolves apabila merobek gawang The Reds pada masa kecederaan babak kedua. – AGENSI














