GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan memukul isterinya ditamatkan perkhidmatan sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa, hari ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dalam kes tersebut, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Fuziah Salleh telah mengemukakan surat rasmi memohon agar Fahmi digantikan daripada jawatan Exco.
“Saya menghormati keputusan parti berkaitan memandangkan setiap parti berhak membuat pertimbangan berdasarkan pelbagai faktor dan keutamaan masing-masing.
Jelas Kon Yeow, cadangan bagi penggantian Ahli MMK baharu akan dikemukakan kepada Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ramli Ngah Talib untuk mendapatkan perkenan pada petang ini.
“Setelah mendapat perkenan, Pejabat Ketua Menteri akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengumumkan pelantikan Ahli MMK baharu bagi mengisi kekosongan tersebut,” ujarnya.
Baru-baru ini, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR telah memutuskan untuk menggantung segala jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu berkuat kuasa serta-merta, pada 1 Mac lalu berikutan pendakwaan terhadap beliau.
Setiausaha Agung PKR itu dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat MPP yang berlangsung.
Katanya, penggantungan jawatan parti tersebut akan berterusan sehingga kes mahkamah melibatkan Fahmi diputuskan.-KOSMO! ONLINE.














