KEMAMAN – Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dua nelayan dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Kemaman minggu lalu ditamatkan setelah tujuh hari pencarian dilakukan.
Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, operasi Carilamat Azan Muda, 68, dan rakannya, Nordin Mohammad, 61, dihentikan pukul 7 malam tadi ekoran ketiadaan petunjuk baharu.
“Sepanjang tujuh hari operasi dijalankan, pencarian dilaksanakan secara intensif meliputi kawasan ditentukan berdasarkan maklumat kejadian, keadaan cuaca semasa dan analisis pergerakan arus serta hanyutan. Bagaimanapun, segala usaha yang dilakukan pelbagai agensi penyelamat tidak berhasil menemui dua mangsa yang hilang,” katanya di sini hari ini.
Abdul Halim berkata, operasi Carilamat telah telah dilalukan pada keluasan lebih kurang 1,755.57 kilometer dari perairan Kemaman hingga ke Pulau Redang, Kuala Nerus.
Kosmo! Ahad 14 Jun lalu melaporkan dua nelayan iaitu Azan dan Nordin dikhuatiri hilang setelah bot dinaiki mereka karam akibat dipukul ribut pada kedudukan 51.67 kilometer pada pukul 12.30 tengah malam, 11 Jun lalu dari perairan Kemaman dekat sini. – KOSMO! ONLINE














