Seawal pukul 8 pagi, saya bersama seorang sepupu, Ambri yang menetap di Pulau Pinang bergegas ke kolam memancing air masin di Pantai Murni, Yan, Kedah
Kedatangan kami ke kolam tersebut untuk menyertai pesta memancing yang diadakan sempena Tahun Baharu Cina, sambil mengisi masa lapang sewaktu cuti umum.
Kira-kira 200 meter lagi untuk sampai ke kawasan kolam, kelihatan deretan kereta sudah mula memenuhi setiap ruang kosong yang terdapat di sekitarnya.
Ada antara pemancing dilihat sedang bersarapan di kedai-kedai makan, dan ada yang mempersiapkan ‘senjata’ masing-masing sebelum masuk ke kolam.
Sebaik melangkah masuk ke kawasan kolam B, dianggarkan kira-kira 80 orang pemancing sudah pun mengambil tapak masing-masing, biarpun acara dijangka bermula pada pukul 10 pagi.
Tidak mahu ketinggalan, kami terus bergerak mencari lokasi terbaik dan sempat membeli umpan udang hidup yang dijual oleh penganjur pesta dengan harga RM1 seekor.
Umpan udang berkenan hanya sebagai alternatif, sekiranya umpan isi ikan kembung yang dibawa dari rumah kehabisan ketika acara sedang berlangsung.
Tepat pukul 10 pagi, pihak penganjur terus membunyikan siren, sekali gus menandakan para pemancing sudah boleh membaling umpan masing-masing ke dalam kolam.
Strike pertama
Sebaik umpan milik Ambri mencecah dasar kolam, ia terus disambar ikan.
Kelihatan air berkocak cukup kuat seperti ada penghuni besar sedang membaham umpan isi ikan kembung yang disuakan.
Selepas sedikit tentangan yang diberikan, seekor ikan siakap putih dianggarkan seberat 1.5 kilogram (kg) berjaya dia daratkan.
Rupa-rupanya, bukan dia seorang yang berjaya menaikkan ikan ketika itu.
Hasil pemerhatian saya, hampir semua pemancing pada pagi itu berjaya menaikkan sekurang-kurangnya seekor ikan pada 10 minit pertama pesta berlangsung.
Kemungkinan besar, ikan-ikan di dalam kolam masih lapar kerana ‘berpuasa’ tidak diberikan makan sebelum pesta ini.
Justeru, tidak hairanlah ramai peserta mengena ikan pagi itu.
Menjelang pukul 10.30 pagi, suasana hiruk-pikuk di kolam kembali tenang.
Hanya sesekali saja pemancing berjaya menaikkan ikan.

Pada hari tersebut, saya dan sepupu hanya berjaya mendapat tiga ekor ikan gred A dengan pancing dasar sepanjang lima jam acara berkenaan berlangsung.
Nasib mungkin tidak menyebelahi kami pada hari itu kerana duduk di tapak yang kurang ikan.
Pemancing bertuah
Bagaimanapun, ada kumpulan pemancing yang bernasib baik apabila meraih sehingga 13 ekor ikan. Salah seorangnya ialah Ahmad yang datang ke pesta berkenaan bersama bapa dan dua rakannya.
Dengan berbekalkan kombinasi kekili EXP Sonic 151, joran Accend berkekuatan 6-17lb dan mata kail Gamakatsu saiz 21, dia seperti mendapat ‘jackpot’ pada hari tersebut.
Sebagai pemancing tegar di kolam berkenaan, Ahmad mengakui bahawa dia selesa mengaplikasikan teknik casting satu mata kail dengan berbekalkan umpan isi udang setiap kali turun beraksi di situ.
Ahmad memaklumkan, setiap kali turun ke kolam berkenan, dia tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Ikan yang sering menjadi tumpuannya di kolam tersebut adalah gerepoh atau giant trevally (GT) kerana mempunyai daya tarikan cukup kuat.
Berkongsi tip, Ahmad memberitahu, ikan-ikan di kolam berkenaan biasanya memakan umpan pada waktu pagi dan lewat petang.
Biasanya, ikan banyak tertumpu di kawasan terdapatnya kipas air serta di tengah kolam kerana terdapat tukun tiruan.
Sementara itu, wakil pengurusan Kolam Memancing Pantai Murni, Abang Zam memaklumkan, sebanyak 500 ekor ikan telah dilepaskan sempena pesta berkenaan.
Antara ikan yang dilepaskan ke kolam tersebut termasuklah siakap putih, siakap merah, jenahak, merah dan GT.
Ikan-ikan berkenaan diambil dari sangkar ternakan di Pulau Pinang dan Tanjung Dawai dengan berat sekitar sekilogram hingga tiga kilogram.
Bagi menambah keseronokan pesta berkenaan, pihak penganjur turut menanda 20 ekor ikan dengan tiga tanda berasingan iaitu merah, kuning dan biru.
Pemancing yang berjaya menaikkan ikan bertanda ini akan diberi wang sagu hati mengikut warna, misalnya merah bernilai RM50, biru RM30 dan kuning RM20.
Abang Zam memaklumkan, pesta pemancing di kolam berkenaan merupakan acara wajib setiap kali cuti umum, dan ia mendapat sambutan hangat pemancing yang datang dari sekitar negeri Kedah dan Pulau Pinang.
Kolam Memancing Pantai Murni cukup popular dalam kalangan pemancing kerana ia terletak di tepi laut dengan panorama Gunung Jerai di sebelah timur dan laut membiru di bahagian barat.














