TRIP kali ini bermula di Jeti Sementa, Klang, sebuah lokasi yang tidak asing lagi bagi pemancing tempatan. Seawal petang, kami sudah berkumpul sambil membuat persiapan terakhir dengan menyusun set pancing, memeriksa perambut serta memastikan bekalan umpan mencukupi.
Umpan utama yang menjadi pilihan kami ialah udang lipan dan sotong kurita hidup.
Sasaran kami hanya satu, iaitu memburu ikan jenahak yang terkenal dengan saiz ‘bantal’ di sekitar perairan tersebut.
Menambahkan lagi keyakinan kami ialah kehadiran tekong berpengalaman, Mejar (B) Abdul Manah yang cukup arif dengan selok-belok lubuk di perairan ini.
Persediaan
Sebelum berlepas, kami diberi sedikit taklimat berkaitan teknik memancing serta aspek keselamatan di laut.
Seramai enam orang pemancing menyertai trip kali ini. Sementara itu, Pak Ayub selaku awak-awak bot membantu memunggah barangan serta peralatan memancing ke dalam bot.
Bot yang kami naiki berukuran 38 x 9 kaki dan dilengkapi dengan enjin berkembar 150 kuasa kuda sekali gus memberikan keyakinan bahawa perjalanan trip kami akan berjalan lancar.
Kami bertolak keluar dari jeti pada pukul 5.30 petang. Sepanjang perjalanan menuju ke lubuk pertama, kami tidak membuang masa dengan mengikat perambut dan menyediakan set pancing masing-masing.
Kami akan pancing dasar menggunakan tanduk (ranggong) dengan perambut 70lb panjang sekitar tiga depa.
Kami memilih untuk menggunakan set pancing kekili elektrik kerana ia mampu mengurangkan penggunaan tenaga fizikal, terutamanya di kawasan yang dalam dengan menggunakan batu ladung yang berat.
Bagi trip memancing yang mengambil masa panjang, khususnya melebihi lapan jam, kekili elektrik ini juga dapat membantu pemancing mengekalkan tenaga sepanjang hari.
Ia sangat sesuai digunakan ketika memburu spesies dasar seperti ikan merah, jenahak, kerapu dan gerut-gerut yang lazimnya mendiami kawasan laut yang lebih dalam.

Kapal Payung
Lokasi pilihan pertama ialah lubuk yang dikenali sebagai Kapal Payung.
Kawasan ini menjadi popular kerana struktur dasarnya yang dalam serta dihuni pelbagai spesies ikan demersal seperti jenahak, merah dan kerapu.
Nama ‘Kapal Payung’ dikatakan merujuk kepada sebuah kapal karam yang suatu ketika dahulu dipercayai membawa muatan payung.
Apa yang menarik, hampir setiap kali pemancing melabuhkan umpan di lubuk kapal karam ini, mata kail sering tersangkut cebisan sisa fabrik payung.
Walaupun struktur dasar di kawasan ini agak mencabar kerana banyak objek yang boleh menyebabkan mata kail tersangkut, namun ia tetap menjadi pilihan berikutan struktur kapal karam dan sisa muatannya menjadi tempat perlindungan ikan.
Di sekitar kawasan ini juga terdapat banyak struktur dasar seperti alur, lubang serta tompok-tompok karang yang terbentuk hasil pergerakan arus.
Struktur-struktur inilah yang menjadi tempat ikan pemangsa dasar seperti jenahak, merah dan kerapu mencari makanan.
Jenahak
Kami menggunakan sotong kurita hidup yang disediakan oleh Pak Ayub sebagai umpan utama.
Tidak menunggu lama, strike pertama berjaya diperoleh dengan naiknya seekor jenahak seberat kira-kira 4.5 kilogram.
Jenahak atau nama saintifiknya Lutjanus johnii merupakan antara spesies ikan dasar yang paling diburu oleh kaki pancing laut di Malaysia.
Ikan ini terkenal dengan kekuatan tarikannya serta isi yang putih dan enak, menjadikannya antara tangkapan yang cukup bernilai dalam kalangan pemancing.
Di Malaysia, harga jenahak biasanya bergantung kepada saiz, tahap kesegaran serta lokasi jualan.
Secara purata, harga jenahak di pasaran boleh mencecah sekitar RM40 hingga RM50 sekilogram, malah kadangkala lebih tinggi sekiranya saiz ikan besar atau bekalan di pasaran berkurangan.
Rumah Api OFB North
Selepas puas bergasak dengan jenahak di lokasi kapal karam, sesi memancing diteruskan lagi dengan bot berpindah ke lokasi kedua sekitar pukul 12 tengah malam.
Bot berjangkar berhampiran rumah api OFB North. Singkatan OFB merujuk kepada kawasan sekitar One Fathom Bank Lighthouse.
Sebuah lokasi ikonik yang terletak di tengah perairan Selat Melaka dan sering menjadi destinasi pilihan tekong serta pemancing yang memburu ikan gred A.
Dengan berbekalkan umpan udang lipan hidup, kami segera menurunkan umpan apabila penderia sonar pada bot mula berbunyi, menandakan kehadiran kumpulan ikan di bawah bot.
Tidak sampai satu jam menunggu, loceng pada joran tekong tiba-tiba berbunyi menandakan ada ikan sedang memakan umpan.
Setelah beberapa minit pertarungan, seekor jenahak seberat 4.9 kilogram berjaya dinaikkan menggunakan set joran elektrik dari kedalaman air sekitar 45 meter.
Trip kami diteruskan sehingga pukul 8 pagi dengan suasana penuh debaran setiap kali umpan direntap penghuni dasar.
Sepanjang tempoh tersebut, kami berjaya menaikkan kira-kira lapan ekor jenahak, sembilan ekor gerut-gerut dan satu ekor ibu gelama.
Sekali gus menutup sesi memancing dengan hasil yang cukup memuaskan.
















