fbpx
Berhadapan dengan salah satu lokasi berpotensi di Kuala Sangga atau lebih popular dalam kalangan pemancing-pemancing lain sebagai ‘Selinsing’.

Memujuk siakap putih mega Kuala Sangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pancingan di kawasan muara bukannya mudah, banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum melangkah ke arena ini. Jalan singkat untuk berjaya adalah dengan mendapatkan bantuan tekong dan rakan-rakan berpengalaman.

Ini merupakan trip pertama saya mencari ikan siakap putih dan siakap merah secara mengilat gewang atau umpan udang hidup yang dibaling tarik di kawasan muara. Sebelum ini, saya hanya memancing menggunakan umpan perumpun atau udang secara pancing dasar.

Sebelum trip ini berlangsung, saya telah mendapatkan informasi melalui perbualan dengan rakan-rakan dan tekong berpengalaman tentang peralatan yang bersesuaian seperti joran, kekili, tali utama, pe­rambut serta gewang.

Selain itu, saya sempat merujuk informasi yang terdapat secara online dan majalah-majalah memancing lama.

Itu pun saya berasa masih belum 100 peratus bersedia, lantas saya menjemput mantan Chief Editor Majalah Pancing, Faiz Karim dan Sabri Harun atau dikenali sebagai Octo yang merupakan pencipta Bendera Pancing (Anglers Flag) untuk menyertai trip bersama.

Pasang dan surut air

Kami bergerak awal pagi dari Pengkalan Lubuk Buntar, Perak menggunakan khidmat tekong Ahmad Hasnan atau lebih popular di Facebook sebagai Ahmad Jebat.

Kami perlu keluar awal pagi kerana mengejar waktu paling sesuai untuk mencari siakap.

Penulis menggunakan joran Fenwick Elite Tech 10-20lb panjang tujuh kaki, digandingkan dengan kekili Revo Big Shooter dengan tali utama, braided 50lb dan perambut 80lb.

Bagi saya, ini merupakan sesuatu yang wajib diikut kerana tekong lebih arif tentang pasang surut air di perairan kami tujui.

Pasang surut air sentiasa di­­ingatkan dalam setiap artikel atau informasi mengenai pancingan di muara kerana ia boleh memberikan kesan besar terhadap keputusan memancing.

Ini kerana, jika ada perubahan cuaca seperti hujan atau panas, ia akan mengakibatkan air menjadi keruh di muara.

Lantas, ini akan memberikan kesan terhadap perangai ikan, sama ada menjadi aktif atau pasif.

Sebab itulah ramai pemancing berpengalaman akan mengatakan perairan muara yang ada pasang surut air dan berarus akan merumitkan pancingan.

Mengilat gewang

Mengikut tekong Jebat, dia memilih hari yang arus sungai perlahan dan ‘mati’ jika membawa pemancing turun mengilat gewang atau guna udang hidup.

Kebetulan trip kami ini jatuhnya sehari sebelum air mati, jadi ia dikira antara hari terbaik.

Bonusnya, keadaan air pada hari tersebut agak jernih dan terbaik untuk pancingan di muara.

Biasanya pemancing dapat siakap putih atau siakap merah, tetapi Faiz Karim kena jenahak pula dengan umpan udang.

Untuk makluman, tekong Jebat merupakan antara orang yang awal menggunakan gewang di kawasan ini. Namun menurutnya, gewang sudah tidak laku kerana bot-bot lain kerap menggunakan umpan hidup.

Jadi, ikan lebih memilih makanan yang sebenar berbanding umpan ‘tipu’. Namun dia memaklumkan, jika ingin mencuba mengilat gewang seperti soft plastic (SP), masih ada ikan sudi menyergapnya.

Pilihan terbaik mengikut pe­­ngalaman tekong adalah SP jenis ekor pendayung (paddle tail), saiz tiga inci dengan warna terang seperti chartreuse atau merah jambu.

Ia seharusnya dipersembahkan dengan cara kalis sangkut (weedless) menggunakan mata kail SP (worm hook) berteras tebal supaya kuat untuk menghela keluar ikan dari reba.

Guna batu pemberat berbentuk kon supaya cepat dapat menenggelamkan SP sehingga ke dasar.

Selain SP tersebut, saya turut mencuba SP berbentuk udang jenama Chasebait dari Australia yang terkenal sangat efektif untuk ikan barramundi (siakap putih) di sana.

Bermula trip

Dari jeti, kami terus menyusur keluar dari Sungai Lubuk Buntar dan masuk ke Sungai Sepetang.

Ketika air sedang bertolak pasang, kami terus melempar SP ke beberapa lokasi yang berupa reba-reba kayu tenggelam untuk mencari ikan siakap merah.

Tekong memberitahu, sementara air masih surut dan bahagian tebing bereba kayu belum dipenuhi air, kami masih boleh lagi menjejak ikan.

Ini kerana, jika air naik lagi, keadaan akan menjadi lebih sukar memandangkan ikan menyelinap rapat ke dalam reba.

Kami hanya dapat memainkan SP sekejap kerana air cepat pasang.

Perjalanan kami diteruskan dengan melewati Kuala Sepetang dan masuk ke Sungai Sangga Besar.

Di sini, kami terus memainkan SP dan sekali-sekala menggunakan gewang profil minnow.

Banyak kawasan bereba dicuba secara berhanyut bot sambil melemparkan gewang sehinggalah kami sampai ke Kuala Sangga, namun keputusannya masih tidak memihak kepada kami.

Ubah pelan

Hari sudah melangkau tengah hari. Selepas berehat, tekong Jebat mengesyorkan kami bertukar taktik.

Gewang harus dilupakan dan masanya untuk menggunakan umpan udang hidup.

Umpan udang bukan dipersembahkan menggunakan kaedah pelampung atau pancing dasar, sebaliknya ia dibaling dan ditarik seumpama memainkan gewang.

Cuma ada cara khusus untuk ‘menyemat’ udang di mata kail supaya ia tidak mudah tertanggal semasa proses baling tarik tersebut.

Saya menggunakan mencangkuk ekor udang di klip swivel dan mata kail di kepalanya.

Manakala tekong mencangkuk kepala udang dahulu di ‘poin’ mata kail, kemudian barulah ekornya diikat di lubang mata kail dengan wayar tembaga.

Kelebihan cara tekong, ia lebih kemas. Manakala cara saya, udang mudah berpusing jika saya mengaraunya dengan laju.

Kali ini, tekong tidak lagi menghanyutkan bot, sebaliknya dia bersauh di hadapan reba-reba yang pernah pelanggannya menaikkan ikan.

“Kita cuba pujuk ikan pula,” terang tekong.

Apa yang saya lihat, hanya sebatang dua kayu terjulur keluar dari air, tanpa mengetahui keadaan reba sebenarnya.

Di sinilah tekong memainkan peranan penting.

Jebat akan memberitahu kami arah gewang serta umpan udang harus dilemparkan dan cara ia dimainkan, sama ada ditenggelamkan ke dasar atau ditarik terus.

Ini kerana, dia tahu kawasan yang padat reba dan tidak bereba.

Ikan trofi

Kami berpindah tempat ke beberapa kawasan bereba lain.

Namun di lokasi keempat barulah umpan udang saya dirembat padu hingga hampir terlepas joran dari genggaman.

Awalnya, saya berasa sungguh panik, namun selepas mendengar nasihat daripada tekong dan rakan-rakan lain, barulah saya dapat bertenang.

Hujung joran direndahkan hingga hampir separas dengan permukaan air bagi mengelak ikan melompat keluar dari air dan meluahkan mata kail.

Joran dipam secara perlahan-lahan untuk memujuk ikan supaya rapat ke bot, sebelum ikan berjaya ditangguk oleh tekong.

Apabila naik sahaja ke dalam bot barulah dapat melihat betapa gemuk dan tembam ikan siakap putih itu.

Saya berasa sungguh puas kerana dapat ikan siakap putih saiz mega dalam trip pertama mencarinya.
Ia menjadi sumber inspirasi kepada saya untuk trip-trip susulan ke lokasi lain selepas ini seperti di Telaga Nenas, Perak dan bebe-
rapa kawasan muara di sekitar Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN