DALAM dunia memancing, tidak semua hari diciptakan sama. Ada hari yang tenang, ada hari mencabar, dan ada juga hari penuh aksi tanpa henti.
Trip kali ini boleh saya katakan jatuh dalam kategori terakhir iaitu satu pengalaman yang cukup padu apabila kami memilih untuk turun memancing dalam keadaan air menyorong besar.
Trip ini menjadi lebih menarik kerana kami turun bersama tekong berpengalaman, Afiq Khalil yang membawa kami keluar dari Jeti Sirip Biru di Bagan Lalang, Selangor.
Seperti yang ramai kaki pancing tahu, perairan ini sememangnya terkenal dengan kepelbagaian lubuk, dari kawasan karang cetek sehinggalah ke alur kapal dengan menjanjikan spesies ikan bersaiz kasar.
Seawal perancangan lagi, strategi telah disusun rapi. Teknik utama yang kami pilih adalah slow pitch jigging untuk ikan demersal, diselitkan dengan sedikit aktiviti fast jigging bagi memburu spesies ikan pelagik lebih agresif.
Untuk slow pitch, pemilihan jig amat penting. Kami menggunakan jig jenis kompak dengan berat sekitar 150 hingga 250 gram. Berat ini bukan dipilih secara sembarangan, tetapi untuk memastikan pitch yang seimbang serta memastikan jig kekal berada dalam strike zone lebih lama iaitu faktor kritikal dalam menggoda ikan dasar.
Pelagik di tepi karang
Seawal pagi, bot kami mula bergerak ke lokasi pertama yang tidak jauh dari darat. Kawasan ini cukup menarik iaitu gabungan batu-batu karang dan struktur bukit bawah laut yang menjunam.
Lereng kawasan ini sememangnya lubuk kegemaran ikan pemangsa seperti kurau dan senangin yang gemar mengendap dari struktur terlindung.
Di sini, kami guna jig yang lebih ringan sekitar 80 hingga 100 gram.
Tekniknya lebih kepada mengetuk kawasan berstruktur dengan memainkan jig secara perlahan bagi menarik perhatian spesies ikan sasaran.
Namun, seperti biasa dalam dunia memancing, tidak semua perancangan menjadi. Hasil di lubuk ini hambar, hanya seekor ikan senangin yang berjaya dinaikkan. Walaupun sedikit mengecewakan, namun kami tidak membuang masa dan terus menukar strategi.
Kami kemudian bergerak ke kawasan permainan ikan pelagik dengan sasaran utama ikan talang. Di sini segalanya berubah.
Talang terkenal sebagai spesies ikan yang amat rakus dan agresif. Hari itu, ia benar-benar menunjukkan belangnya.
Teknik yang diaplikasikan cukup ringkas tetapi efektif iaitu jig sekitar berat 100 gram dilontar jauh dan dibiarkan tenggelam ke dasar.
Kemudian, ia dikarau laju, berhenti seketika dan disambung semula dengan karauan pantas, sebelum dilepaskan kembali jatuh ke dasar.
Kami betul-betul berada di atas kumpulan ikan talang, strike datang bertubi-tubi. Hampir setiap kali jig diunjun, pasti ada sambaran.
Talang menyerang tanpa belas kasihan, memberikan tentangan yang padu dengan pecutan deras diikuti aksi akrobatik di permukaan air. Suasana atas bot bertukar menjadi hiruk-pikuk dengan jeritan kegembiraan dan bunyi drag yang tidak putus-putus ‘menjerit’.
Inilah momen yang membuatkan setiap pemancing boleh menjadi ketagih iaitu saat di mana lontaran memberi harapan dan karauan boleh berakhir dengan hasil yang diharapkan.
Alur kapal
Setelah puas melayan talang, kami mengambil keputusan untuk bergerak jauh lagi bagi menyasarkan spesies ikan dasar yang lebih kasar.
Namun perjalanan ke sana bukan mudah, di tengah alur kapal, keadaan laut mula berubah. Angin bertiup lebih kuat, ombak mula beralun dan bot terhuyung-hayang. Ini adalah fasa di mana ketahanan fizikal benar-benar diuji.
Mabuk laut mula menyerang dan saya sendiri tidak terkecuali.
Namun sebagai pemancing, ini adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi.
Menjelang petang, keadaan mula berubah, arus kian stabil. Apabila arus cantik, ikan pun mula membuka selera.
Menariknya, pembuka sesi petang bukanlah spesies dasar seperti yang diharapkan, tetapi sekali lagi talang. Kali ini, ia menyambar jig seberat 220 gram membuktikan bahawa dalam dunia memancing kita tidak selalu mendapat apa yang kita cari.

Jenahak mega
Tidak lama selepas itu, suasana kembali gamat. Dari hadapan bot kedengaran sorakan kuat. Rupa-rupanya, Aaron sedang bertarung dengan sesuatu yang luar biasa.
Beberapa minit kemudian, muncul seekor jenahak bersaiz mega di permukaan air.
Apa yang lebih mengagumkan, dia hanya menggunakan mainline berkekuatan PE1 dan jig seberat 120 gram, iaitu satu set-up yang boleh dikatakan ringan untuk saiz ikan sebegitu.
Ini membuktikan bahawa teknik, kesabaran dan kemahiran memainkan peranan yang jauh lebih penting daripada sekadar peralatan.
Strike zone
Apabila matahari mula melabuh, tekong memberi isyarat bahawa kami akan memasuki kawasan terakhir iaitu strike zone atau lubang yang sering menjadi tempat persembunyian ikan-ikan demersal bersaiz kasar.
Tidak lama selepas jig dijatuhkan ke dasar yang berkedalaman sekitar 50 meter, saya merasakan satu hentakan kuat. Drag mula menjerit iaitu satu petanda jelas bahawa ikan di hujung tali bukan calang-calang.
Pertarungan berlangsung agak lama. Setiap kali saya cuba mengarau, ikan tersebut melawan dengan kekuatan penuh. Namun akhirnya setelah bertungkus-lumus, kelibat ikan mula kelihatan.
Seekor kerapu berjaya dinaikkan. Satu penutup yang cukup manis untuk trip hari itu.
Trip ini membuktikan bahawa dalam memancing, fleksibiliti adalah kunci. Daripada slow pitch jigging ke fast jigging, daripada memburu dasar ke pelagik, setiap perubahan strategi membawa hasil yang berbeza.
Talang rakus, jenahak mega yang mengejutkan dan kerapu sebagai penutup tirai menjadikan trip ini satu pengalaman sukar dilupakan.
Akhir kata, dalam memancing bukan sekadar hasil yang kita cari tetapi pengalaman. Cabaran dan cerita yang kita bawa pulang, dan trip ini sememangnya penuh dengan kisah untuk dikenang.















