Double hook-up jenahak bersaiz padu.

Rezeki memburu ikan jenahak di Port Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IKAN jenahak sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan pemancing. Isinya yang putih, pejal dan manis menjadikan ikan ini sentiasa mendapat permintaan tinggi bagi penggemarnya.

Bagi pemancing pula, jenahak menawarkan satu bentuk kepuasan yang sukar digambarkan. Tarikan awalnya halus, tetapi apabila mata kail sudah tertancap kemas, pertarungan sebenar pun bermula.
Inilah yang membuatkan ramai kaki pancing sanggup berjaga malam, meredah laut bergelora demi spesies berkenaan.

Ikan ini berada dalam kumpulan ikan pemangsa dasar (demersal) yang gemar mendiami kawasan berstruktur seperti batu karang, kapal karam, lubang dan kawah berlumpur bercampur pasir.
Pulau Indah

Kami berkumpul di Jeti Nelayan Kampung Telok Nipah di Pulau Indah sekitar pukul 7 pagi.

Trip kali ini akan mengkhususkan perairan Port Klang yang memang sudah lama dikenali sebagai lubuk jenahak.

Pemandangan pada waktu pagi di Jeti Nelayan Kampung Telok Nipah, Pulau Indah, Selangor.

Struktur dasar yang sesuai, aliran arus konsisten serta kehadiran sumber makanan menjadikan kawasan ini habitat ideal untuk spesies ikan ini.

Trip ini diketuai oleh Abang Rahman atau dikenali di laman Facebook sebagai A Rahman Tekong Sementa, seorang tekong tempatan yang cukup berpengalaman dalam memburu jenahak.

Dia bukan sahaja mahir membaca arus dan kedudukan ikan, malah sangat teliti dalam memberi nasihat berkaitan teknik dan disiplin memancing jenahak.

Persediaan trip

Seramai lima orang peman­cing menyertai trip ini iaitu Umar, Syazwan Geb, Arif, Maol dan saya sendiri.

Persediaan dibuat lebih awal, termasuk pembahagian tugasan, penyediaan peralatan dan perancangan logistik.

Kami juga memastikan semua keperluan asas seperti makanan, minuman, jaket keselamatan, ubat mabuk laut dan bateri kekili elektrik dibawa secukupnya.

Perkara ini nampak remeh, tetapi sangat penting untuk memastikan fokus kami tidak terganggu ketika memancing.

Dalam trip ini, kami menggunakan set pancing kekili elektrik dengan saiz 3000 bagi jenama Shimano dan saiz 500 bagi Daiwa.

Tali utama bermula dari 50lb sudah mencukupi bagi menampung tekanan arus dan larian ikan. Perambut pula jenis 100 peratus fluorocarbon berkekuatan 80lb yang lengkap dengan tanduk besi (ranggung) untuk mengelak perambut berpintal akibat arus.

Joran yang digunakan bersesuaian dengan saiz kekili elektrik dibawa dan mestilah sensitif terhadap getuan jenahak.

Batu ladung pula di bawah satu kilogram dalam saiz antara 12 hingga 20, bergantung kepada kekuatan arus semasa. Kami guna dua mata kail saiz 5/0 yang diikat berangkai pada perambut.

Kami bawa dua jenis umpan iaitu sotong kurita dan udang lipan. Udang lipan sering dianggap umpan nombor satu untuk jenahak, namun sotong kurita juga tidak kurang efektifnya, terutama ketika ikan mula memilih makanan.

Abang Rahman menegaskan agar sentiasa membawa umpan lebih kerana selera jenahak boleh berubah mengikut keadaan arus dan waktu.

Permulaan aksi

Kami memulakan aksi seawal pagi, getuan pertama sebenarnya agak mengecewakan apabila ikan yang menyentap umpan terlucut. Kemungkinan besar mata kail belum benar-benar solid di mulutnya.

Wajah kepuasan para pemancing dengan hasil trip yang memberangsangkan.

Menurut tekong, situasi ini perlu dielakkan kerana apabila seekor jenahak terlucut, kumpulannya akan beredar. Inilah sifat ikan schooling yang sangat sensitif.

Jenahak biasanya mula makan apabila berlaku perubahan arus pasang dan surut.

Oleh itu, peman­cing perlu sentiasa peka dengan maklumat daripada tekong kerana mereka yang paling arif membaca pergerakan arus.

Menjelang pukul 10 pagi, suasana mula berubah. Arus menunjukkan peralihan yang cantik dan jenahak mula aktif. Bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang, kami berjaya mendaratkan sekitar 20 ekor jenahak bersaiz padu.

Selain jenahak, ikan siakap merah juga dinaikkan, sekali gus menandakan kawasan ini sememangnya kaya dengan spesies pemangsa dasar.

Tip dan teknik

Soalan yang sering ditanya, bila masa sesuai untuk hook-up jenahak?

Berdasarkan pengalaman kami, apabila ikan membuat getuan pertama, jangan terus menekan suis kekili elektrik.

Biarkan sahaja terlebih dahulu, apabila getuan kedua berlaku, barulah tekan suis yang sedia diset pada kelajuan maksimum, dan biarkan kekili melakukan tugas mengarau tali kira-kira lima saat.

Selepas itu, barulah kelajuan karauan boleh diperlahankan sedikit, tetapi jangan terlalu perlahan bagi mengelak tali menjadi kendur dan ikan sempat meloloskan diri.

Loceng penggera yang dipasang di hujung joran juga sangat membantu untuk mengesan getuan halus ikan, terutama sekali ketika memancing di kawasan dalam.

Aspek kuasa bateri kekili tidak boleh dipandang ringan. Kami menggunakan bateri bersaiz 14.8 volt
bagi kekili elektrik Shimano dan Daiwa untuk memastikan kuasa mencukupi sepanjang trip.

Kekili yang kekurangan kuasa boleh menyebabkan kegagalan ketika ikan sedang membuat asakan.

Bagi pemancing yang ingin memburu jenahak di perairan Port Klang, pastikan rehat cukup sebelum turun ke laut.

Pengambilan pil anti mabuk sangat digalakkan kerana keadaan ombak di sini agak mencabar.

Penggunaan pakaian yang ber­sesuaian, kasut, sarung tangan serta jaket keselamatan amatlah perlu
bagi menghadapi sebarang kemung­kinan.

Selain itu, jangan lupa bersarapan dan membawa makanan yang mencukupi. Perut kosong boleh menyebabkan angin masuk dan mencetuskan mabuk laut.

Penutup

Trip memburu jenahak di perairan Port Klang ini benar-benar membuka mata kami tentang penting­nya disiplin, teknik dan kerjasama dalam pancingan dasar.

Jenahak bukan sekadar ikan bernilai tinggi, malah simbol cabaran sebenar bagi teknik dan kesabaran.

Dengan persediaan rapi, bim­bingan tekong berpengalaman dan kefahaman terhadap habitat serta tabiat ikan, sensasi memburu jenahak pasti menjadi pengalaman yang sukar dilupakan.

Bagi saya, setiap getuan jenahak adalah degupan adrenalin yang membuatkan saya sentiasa rindu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN