fbpx
Ikan gelama membuka tirai trip pertama, dan inilah saiz yang rata-rata kami dapat pada malam itu.

Memancing santai di bulan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI saya dan beberapa orang rakan yang lain, waktu malam menjadi pilihan terbaik untuk kami menikmati hobi memancing di sepanjang bulan puasa. Suasana malam juga sejuk dan santai.

Seperti yang telah dipersetujui, saya bersama Bob dan Izuddin keluar memancing di persisiran Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu, Kelantan.

Namun setibanya di sana, keadaan ombak pada ketika itu amat tinggi dan percikan air yang menerjah batu juga kuat. Keadaan tersebut tidak mengizinkan kami untuk memancing di situ.

Bagi mengelak pulang dengan perasaan hampa, saya mencadangkan agar kami mencuba nasib di lokasi lain iaitu di Sungai Kampung Madat yang berhampiran.

Walaupun lokasinya berbeza daripada rancangan asal, namun kami tetap berharap ada rezeki menanti kami di sana.

Setibanya di tebing tambak berbatu di sungai tersebut, kami segera mencari tapak yang sesuai dan selamat untuk melabuhkan umpan. Di sini airnya lenang kerana terlindung dengan sungai.

Namun memancing di tepi sungai pada waktu malam tetap perlu berwaspada kerana ada risiko dan bahayanya yang tersendiri.

Penggunaan lampu suluh amat penting, tanpanya kerja-kerja memasang umpan, mengikat mata kail dan memerhati pergerakan hujung joran menjadi sukar.

Lampu suluh juga boleh digunakan untuk memeriksa kawasan kehadiran haiwan berbahaya di sekeliling seperti ular, kala jengking, lipan dan sebagainya.

Pesta gelama
Suasana di sungai pada malam itu senyap dan sunyi, air pula sedang naik pasang. Hanya kedengaran suara cengkerik memecah kesun­yian. Kami hanya mempertaruhkan umpan udang mati lebihan sesi memancing dua minggu lalu.

Sambil makan kuih-muih baki berbuka puasa, mata tetap tertumpu tajam pada hujung joran masing-masing.

Tidak lama kemudian, joran milik Izzudin menunjukkan isyarat getuan. Hujung jorannya bergetar perlahan seolah-olah ada sesuatu yang sedang mengusik umpannya.

Dia terus mencapai jorannya, lalu melakukan sentapan. Seekor ikan gelama bersaiz hidangan menjadi tangkapan pertama.

Tangkapan yang tidak disangka pada trip kedua, seekor ikan siakap putih membedal gewang Fadhil.

Beberapa minit kemudian, Bob pula menaikkan seekor gelama, tetapi saiznya lebih kasar lagi.

Selepas itu bermulalah kumpulan ikan gelama menerpa umpan di tapak pancingan kami, banyak ekor berjaya dinaikkan pada malam itu.

Ketika kami melayan kerenah ikan gelama itu, tiba-tiba joran milik Bob menunduk.

Selepas disembat, ikan membenam ke kiri dan kanan dalam usaha melepaskan diri.

Namun usaha ikan sia-sia, apabila Bob terus menghelanya naik ke tebing. Rupa-rupanya seekor ikan siakap merah.

Nasib dia cukup baik apabila berjaya mendapat seekor ikan bebaji pula sebagai penutup sesi pancingan.

Trip susulan
Memandangkan lokasi tambak berbatu ini ada potensi, kami turun sekali lagi memancing di sana selang empat malam daripada trip pertama.

Seperti biasa, pancing dasar menggunakan umpan udang mati menjadi agenda utama kami. Tidak lama menunggu, kumpulan ikan gelama mengambil umpan kami bertubi-tubi.

Berkemungkinan ia rancak makan umpan kerana air pada penghujung pasang semasa kami sampai.

Apabila air bertolak surut, suasana bertukar menjadi senyap dan masalah lain pula datang, gerombolan ikan buntal membantai umpan.

Keadaan itu berlanjutan sehinggalah air surut menampakkan hujung batu tambak. Bosan dengan keadaan yang sendu itu, Fadhil memasang satu gewang selaman dalam dan cuba mengilatnya di hujung batu tersebut.

Gewangnya boleh menyelam sehingga ke tiga meter dalam, namun dia tidak risau sangkut kerana air di hujung batu itu sememangnya dalam, walaupun ketika surut habis.

Gewangnya itu pula hanya dibeli daripada Shopee sahaja. Jadi kalau putus sekalipun, masih tidak terasa rugi sangat kerana harganya murah.

Sememangnya, nasibnya baik pada malam itu, hanya beberapa kali baling dan tarik, secara tiba-tiba gewangnya seolah disedut sesuatu. Ini diikuti dengan ‘jeritan’ drag kekilinya yang nyaring.

Walaupun sekadar suka-suka, namun dia tetap bersedia. Ikan siakap putih bersaiz cantik berjaya dtangani dengan cermat dan ditebingkan tidak lama kemudian.

Itulah hasil terbaik kami untuk trip kali ini, dan semestinya kami akan ‘makan besar’ untuk bersahur nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN