Kebiasaannya perairan Pantai Timur menjadi lapangan popular untuk micro jigging, namun di satu lokasi yang terhampir dengan Lembah Klang ini juga dapat menawarkan keseronokan yang sama.
Pulau Angsa, Kuala Selangor mendapat namanya kerana dikatakan bentuk pulau ini kelihatan seperti seekor angsa dari jauh. Di atas pulau ini terdapat satu rumah api yang telah dibina pada tahun 1887 dan masih berfungsi sehingga sekarang sebagai pedoman untuk kapal dagang yang melalui perairan sekitar.
Bagi pemancing, Pulau Angsa ini sudah terkenal sejak berpuluh tahun dahulu sebagai lubuk pelbagai jenis ikan seperti jenahak, kerapu, kurau, senangin, pari, sembilang, gerut-gerut, gelama dan banyak lagi.
Namun, semakin hari, semakin ramai pemancing berkunjung dan aktiviti menjaring juga berleluasa membuatkan kegemilangan Pulau Angsa sebagai lokasi memancing yang tersohor di Selangor satu ketika dahulu menjadi semakin pudar.
Namun, berita baiknya, kebelakangan ini terdapat beberapa orang tekong generasi muda yang telah mencuba micro jigging dengan jayanya.
Ini telah mengubah senario perairan di Pulau Angsa dengan lebih ramai peminat micro jigging turut turun mencubanya.

Salah seorang tekong tersebut ialah Wan atau nama di Facebook Wan Fazarul Azan yang berpengalaman luas di perairan sana dengan banyak rekod tangkapan ikan menggunakan jig-jig micro.
Trip terkini
Saya sebenarnya sudah tiga tahun tidak memancing bersama Wan, jadi tidak tahu keadaan terkini micro jigging di sana, jadi satu trip diatur dan saya turun bersama dua rakan yang lain.
Perjalanan dari Petaling Jaya tidak sampai satu jam sudah sampai ke jeti tempat bot Wan diparkir di Sementa, Klang.
Pagi itu Wan sudah bersedia di botnya, air surut habis hingga menampakkan tebing berlumpur, jarak bot hingga ke pelantar jeti terasa sungguh tinggi, namun atas kerjasama sepasukan, semuanya menjadi mudah.
Hujan lebat juga baharu sahaja berhenti dan kami menunggu seketika supaya angin ribut itu sedikit reda.
Sebaik keluar sahaja ke laut lepas, hujan masih renyai dengan keadaan langit dan awan yang rendah dan gelap. Suasana laut sedikit kucah, namun beransur-ansur lenang menjelang tengah hari.
Lokasi pertama tidak jauh dari kuala sungai kecil yang kami keluar pagi tadi, beberapa kali berhanyut tiada apa-apa yang mencuit jig kami, terus Wan berpindah ke lokasi baharu yang terletak berhampiran sahaja.
Di lokasi ini, Wan kena seekor ikan jenahak diikuti dengan seekor ikan senangin dan seekor jenahak lagi selepas itu. Walaupun ikan hanya saiz ‘hidangan’ (table size) tetapi ia memberi tentangan yang kuat ke atas set micro jig yang dia gunakan.

Itulah keseronokan micro jigging kerana setiap benaman ikan akan terasa betul-betul kuat kerana penggunaan set ultra light bersama tali utama yang halus.
Begitulah rutin micro jigging bersama tekong Wan, dia akan beransur-ansur naik hinggalah merapati Pulau Angsa dan kawasan sekitarnya. Setiap hentian di satu-satu lokasi itu biasanya ada sahaja ikan, antara besar atau kecil, banyak atau sedikit bergantung kepada nasib dan kerajinan pemancing.
Rupa struktur dasar setiap lokasi yang tekong akan singgah pelbagai, ada yang berteranas, iaitu kawasan berpasir bercampur lumpur, ada yang berkarang yang tidak sekata, ada yang berupa lubang atau kawah, ada berbukit kecil dan ada yang berpermatang cetek. Pastinya setiap struktur dasar ini berbeza jenis ikan yang menghuninya
Puas meronda sekitar pulau, menjelang awal petang, bot akan bergerak pulang dan akan singgah lagi di beberapa lokasi lain di sepanjang perjalanan menuju ke jeti.
Pendek kata, setiap pemancing yang naik botnya sukar untuk berehat kerana dia akan kerap bertukar-tukar lokasi sehingga semua orang berpuas hati dapat menaikkan tangkapan masing-masing yang diidamkan.
Jika cuaca tidak cantik dia akan lari ke perairan Pulau Ketam yang terletak berhampiran untuk berlindung. Di sini juga merupakan lokasi micro jigging yang berpotensi.
Set micro jigging
Peralatan micro jigging yang disyorkan untuk perairan Pulau Angsa sama sahaja dengan tempat-tempat lain iaitu joran spinning atau baitcaster berkekuatan PE1. Kekili pula saiz 40 bagi baitcaster dan saiz 1000 ke 2000 untuk spinning.
Bagi memaksimumkan lenggok jig yang menawan, disarankan menggunakan tali utama jenis braided yang halus bawah 12 paun (lb) dengan perambut fluorocarbon antara 12-20lb.
Saiz jig antara 20 hingga 40 gram (g) dengan profil pendek dan lebar menjadi pilihan utama.

Warna yang popular untuk pelbagai spesies ikan ialah perak, hijau dan kekuningan.
Saiz jig yang sepatutnya diturunkan adalah bergantung kepada kekuatan arus, apa-apapun tekong akan sentiasa menasihati saiz dan warna jig yang bersesuaian dengan keadaan.
Dua mata kail assist yang sedikit besar saiznya daripada saiz jig perlu dipasang untuk meningkatkan peratusan cangkukan mata kail ke mulut ikan, kerana kadangkala ada ikan yang lebih suka menggetu jig berbanding membahamnya terus.
Jig biasanya dibiarkan tenggelam terus ke dasar dan diangkat antara satu hingga tiga kaki dari dasar secara perlahan ataupun rentapan yang laju dan perlu sentiasa bertukar ritma jigging ini sehinggalah kena ikan.
Perairan di sini cetek, kedalaman dasar rata-rata antara 20 hingga 40 kaki sahaja, sebab itulah aktiviti micro jigging sesuai dilakukan di sini.
Masa terbaik untuk main micro jig ialah ketika hari yang arus laut perlahan iaitu tiga hari sebelum air mati, ketika air mati dan tiga hari selepas itu.
Ikan yang menjadi target dengan micro jig di sini ialah jenahak, senangin, gerut-gerut, gelama dan kerapu.
Paling menarik, lokasi micro jigging ini boleh dikirakan terhampir dengan Lembah Klang membuatkan peminatnya dapat melepaskan gian tanpa perlu ke perairan lain yang jauh dan memerlukan modal yang besar.














