WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk memutuskan semua perdagangan dengan Sepanyol selepas Madrid enggan membenarkan pesawat AS menggunakan pangkalannya untuk menyerang Iran.
Kerajaan sayap kiri Sepanyol yang diketuai oleh Perdana Menteri Pedro Sanchez, mengatakan bahawa pangkalan yang telah lama digunakan oleh tentera AS hanya dibenarkan untuk aktiviti yang selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Sepanyol amat teruk,” kata Trump kepada pemberita semasa beliau bertemu Canselor Jerman, Friedrich Merz di White House semalam.
Beliau juga merujuk kepada keengganan Sanchez untuk menyertai sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam ikrar untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Jadi, kami akan memutuskan semua perdagangan dengan Sepanyol. Kami tidak mahu ada kaitan dengan Sepanyol,” kata Trump sambil menambah, beliau telah meminta Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent untuk memutuskan semua urusan dengan Madrid.
Masih belum jelas kuasa apa yang Trump miliki untuk menamatkan perdagangan dengan Sepanyol selepas Mahkamah Agung membatalkan penggunaan kuasanya untuk mengenakan tarif sewenang-wenangnya.
Mengulas mengenai ancaman itu, kerajaan Sepanyol berkata, ia mempunyai hubungan perdagangan yang saling menguntungkan dengan AS dan negara-negara lain.
“Jika pentadbiran AS ingin menyemak semula hubungan ini, ia mesti berbuat demikian sambil menghormati autonomi syarikat swasta, undang-undang antarabangsa dan perjanjian dua hala antara Kesatuan Eropah dan AS,” katanya.
“Negara kami mempunyai sumber yang diperlukan untuk membendung kemungkinan kesan, membantu sektor yang mungkin terjejas dan mempelbagaikan rantaian bekalan,” tambahnya.
Sanchez sebelum ini menyeru dialog untuk menamatkan perang ke atas Iran dengan berkata: “Seseorang boleh menentang rejim yang penuh kebencian dan pada masa sama menentang campur tangan ketenteraan yang tidak wajar dan berbahaya.”
Sanchez yang juga merupakan pengkritik lantang Israel, menuduh negara haram itu melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam operasi ketenteraan besar-besarannya di Gaza. – AFP














