PETALING JAYA – Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya yang dilaporkan mengalami gangguan bekalan kuasa susulan kecurian kabel, dijangka dipulihkan secara berperingkat dalam tempoh tiga hari.
Rapid Rail menerusi kenyataannya memaklumkan, kerja-kerja baik pulih bekalan kuasa di Laluan Putrajaya giat dijalankan susulan kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Damansara Damai yang dikesan awal pagi tadi.
“Kejadian tersebut telah menyebabkan gangguan perkhidmatan dan memerlukan kerja pembaikan menyeluruh bagi memastikan sistem kembali beroperasi dengan selamat serta stabil.
“Sepanjang tempoh gangguan ini, perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma disediakan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan. Penumpang juga disarankan menggunakan laluan rel alternatif,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Rapid Rail memohon kerjasama semua penumpang untuk mematuhi arahan petugas di stesen demi kelancaran pergerakan dan keselamatan bersama.
Maklumat terkini mengenai status perkhidmatan akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE.
Kosmo! Online pagi tadi melaporkan, perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya sedang mengalami gangguan bekalan kuasa di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Damansara Damai.
Siasatan awal pasukan kejuruteraan mengesahkan bahawa berlaku kecurian kabel bekalan kuasa yang telah dipotong berhampiran Stesen Damansara Damai.
Sehubungan itu, tren alternatif disediakan dari Stesen Putrajaya Sentral akan berpatah balik di Stesen Metro Prima (kekerapan enam minit), tren perantara ulang-alik di antara Stesen Metro Prima dan Stesen Damansara Damai (kekerapan lapan minit) dan tren dari Stesen Kwasa Damansara akan berpatah balik di Stesen Damansara Damai (kekerapan lapan minit). – KOSMO! ONLINE














