DUA tahun lalu, hidup Adry Fazmi berubah sekelip mata. Sebuah kemalangan meragut penglihatannya, meninggalkan dunia yang tiba-tiba menjadi gelap.
Bagi kebanyakan orang, kehilangan penglihatan mungkin menandakan akhir bagi banyak impian. Namun bagi Adry, ia menjadi permulaan satu perjalanan baharu yang penuh keberanian, semangat dan larian tanpa batas.
Pemuda berusia 20-an itu akan berlari bersama pembimbingnya, Ammar yang juga merupakan sahabat karib yang tidak cuma memimpin arah tetapi juga menjadi teman setia dalam setiap latihan dan marathon yang disertainya.
Berkongsi dengan K-Remaja, kegelapan bukan halangan, bahkan Adry juga baru-baru ini berjaya menamatkan satu larian half-marathon 21 kilometer (km) di bawah tempoh cut off time (empat jam).
Pencapaian tersebut dicatatkan Adry pada acara Score Marathon Malaysia 2025 di Putrajaya.
Malah, pencapaian itu bukan sekadar tentang menamatkan perlumbaan, tetapi membuktikan kemampuan diri selepas melalui fasa sukar menerima kehilangan penglihatan.
Dengan hanya berpandukan arahan suara dan keserasian langkah bersama Ammar, Adry mengakui setiap kilometer yang ditempuhi menuntut kepercayaan sepenuhnya terhadap pembimbingnya selain kekuatan mental yang tinggi untuk terus konsisten sehingga ke garisan penamat.
“Kami mula berlari pada pukul 4 pagi dan sejujurnya, itu merupakan kali pertama saya berlari pada waktu awal pagi sebegitu, menyebabkan saya agak gementar.
“Pada kilometer ke-15, saya mengalami kejang otot memandangkan sebelum ini, saya pernah terjatuh sewaktu sesi latihan.
“Begitu pun, saya berjaya menamatkan larian dalam tempoh tiga jam lebih tanpa sebarang halangan dan tanpa terlanggar pelari lain,” katanya.
Adry gembira selepas enam bulan berlatih, dia akhirnya berjaya menamatkan larian 21km itu. Ia merupakan jarak separa daripada marathon penuh 42km.
“Dengan dikelilingi ‘circle’ yang tepat, tidak ada apa yang mustahil.
“Sebagai seorang yang cacat penglihatan, berlari 21km terasa seperti mimpi yang sukar dilaksanakan, tetapi dengan sokongan insan sekeliling saya, saya dapati kekuatan untuk terus mengorak langkah,” kongsinya.
Menurut Adry, pelari buta sepertinya akan mengikat tali pendek atau tether pada tangan pembimbingnya sebelum memulakan larian.
Ikatan kecil itu menjadi simbol kepercayaan dan koordinasi antara mereka, memastikan setiap langkah diatur selaras tanpa mengganggu pelari lain di sekeliling.

Sepanjang larian, pembimbingnya akan memberikan arahan ringkas seperti perubahan arah, keadaan permukaan jalan atau kehadiran selekoh, membolehkan Adry menyesuaikan rentak dengan yakin dan selamat sehingga ke garisan penamat.
Selain Score Marathon Malaysia 2025, Adry juga telah menyertai acara larian lain antaranya The Twincity Marathon 2026 di Kuala Lumpur Januari lalu.
Mengimbau cintanya terhadap dunia larian, Adry berkata, ia hanya bermula kira-kira dua bulan selepas dirinya ditimpa kemalangan.
“Sebelum kemalangan, saya melihat larian sebagai sukan atau aktiviti yang orang buat apabila mereka mahu menurunkan berat badan, namun kini saya melihatnya sebagai satu bentuk kebebasan,” jelasnya.
Adry juga sedikit sebanyak berjaya membuatkan rakan-rakan dan teman sepejabat mula berlari selepas melihat kesungguhannya.
“Ramai yang berkongsi mereka mula berlari disebabkan oleh saya dan saya harap secara tidak langsung, perkongsian dan kesungguhan saya berjaya menginspirasikan orang lain untuk mencuba aktiviti ini,” katanya.
Kongsi Adry yang merupakan seorang perancang projek sebuah syarikat automotif berkata, sebelum dirinya ditimpa kemalangan sehingga hilang penglihatan, dia sememangnya seorang yang menjalani gaya hidup yang aktif.
“Namun sebelum ini, saya lebih aktif dalam aktiviti berbasikal.
“Kini acara larian menjadi minat saya kerana ia memberikan satu kepuasan,” katanya yang lebih suka berlari di atas jalan berbanding trek larian.
Adry juga memaklumkan bakal menyertai acara Score Marathon 2026 pada Julai ini yang akan berlangsung di Putrajaya.
Jelas anak kelahiran Damansara, Selangor itu lagi, kini, Ammar, Aida (isteri Ammar) dan tunang Adry iaitu Alyaa menjadi teman lariannya yang akan membantu Adry dalam sesi latihan dan juga acara larian yang disertai.
“Jika hari biasa, saya akan menjalani latihan di atas treadmill di rumah, manakala pada hari minggu, saya dan Ammar akan berlari di kawasan rumah kami atau pun trek dan acara lain seperti KL Car Free Morning yang dianjurkan di ibu kota.
Selain berlari, Adry juga aktif di gimnasium dan sering melakukan strength training untuk kaki bagi menguatkan otot kakinya.
“Bagi bulan Ramadan seperti sekarang ini, saya masih meneruskan latihan seperti biasa dengan berlari setiap hari di atas treadmil di rumah, sama ada selepas bertarawih atau pun sebelum bersahur,” kongsi Adry tentang rutin hariannya.
Adry yang menghabiskan masa 40 minit melakukan larian mudah di treadmill pada bulan Ramadan berkata, kegelapannya adalah suatu yang bagus.
“Sekurang-kurangnya saya tak mudah tergoda dengan resipi makanan Khairul Aming kerana saya tidak dapat melihat, begitu juga foto-foto makanan iftar yang dikongsikan ibu dan rakan-rakan,” katanya sambil tersenyum.
Akui pemuda itu, sejak hilang penglihatan, dia sentiasa berasa ‘in denial’ dan sukar baginya untuk menerima hakikat itu.
Begitu pun, dia menanam azam untuk mula menerima keadaan diri bahkan sentiasa bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakan sentiasa membantu dirinya melalui tempoh sukar itu.
“Rasa ‘denial’ itu sentiasa ada, namun tahun ini, saya mahu cuba membuang perasaan itu jauh-jauh,” ungkapnya.
Adry berkata, sebagai individu yang sukakan dunia larian, dia tidak mahu menjadikan kekurangannya sebagai halangan.
Bahkan, Adry menyimpan impian untuk menyertai Abbot World Marathon Majors iaitu acara marathon terbesar yang dianjurkan di tujuh buah bandar-bandar besar dunia seperti Tokyo, Jepun;
London, Britain; Sydney, Australia; Berlin, Jerman serta Chicago, Boston dan New York, Amerika Syarikat.
Adry juga cuba membina komuniti menerusi akaun TikTok miliknya dan dilihat kerap membalas komen-komen yang ditinggalkan pengguna aplikasi itu.
“Rakyat Malaysia sangat baik dan mereka sentiasa meninggalkan komen-komen positif di ruangan komen setiap kali saya berkongsi video tentang aktiviti larian saya.
“Oleh sebab itu juga, saya akan cuba membalas setiap komen dengan harapan ia sedikit sebanyak akan memberikan inspirasi dan menjawab soalan-soalan mereka,” katanya.
Perkongsian Adry di media sosial juga menyentuh hati.
Ada antaranya video ‘gelap’, tanpa imej dan hanya ditemani audio,sebagai membawa penonton untuk menyelami dunia larian gelapnya kini.
Ramai orang meluahkan rasa bangga dan terinspirasi dengan apa yang telah dlakukannya.
“Video ini mencetuskan inspirasi dalam diri saya. Terima kasih bang. ‘Respect bro’’” tulis seorang netizen.
“Anda sangat mengagumkan. Tahniah,” kata seorang netizen yang lain.














