fbpx
Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil kursus menggunting rambut yang ditawarkan GRO di Kangar.

GRO ajar orang muda mahir gunting rambut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Bidang gunting rambut yang dahulu dipandang sebagai kerjaya kelas kedua kini semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda.

Bagi Muhammad Faishal Zafryn Mohd. Zamri, 26, dan Muhammad Shahrul Azwan Abdullah, 23, label ‘tiada masa depan’ yang pernah dilemparkan terhadap mereka akhirnya ditepis dengan kejayaan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dalam bidang penggun­tingan rambut.

Mereka menerima sijil itu pada Majlis Konvokesyen TVET Utara di Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis, Pauh Putra, baru-baru ini.

Ujar Muhammad Faishal yang berasal dari Besut, Terengganu, dia pernah melalui fasa kehidupan yang sukar apabila berhenti sekolah setakat tingkatan dua.

“Dulu saya nakal dan terlibat masalah sosial. Ramai kata saya tiada masa depan. Lapan tahun saya hidup tanpa hala tuju dan hanya buat kerja kampung. Bila dah berkahwin, saya sedar perlu pikul tanggungjawab sebagai ke­tua keluarga,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dia kemudian diterima bekerja di kedai Gunting Rambut Orang (GRO) enam tahun lalu walaupun tidak berkemahiran.

Shahrul pula yang berasal dari Tawau, Sabah dan membesar di sini berkata, dia berhenti sekolah setakat tingkatan tiga kerana lemah dalam pelajaran.

“Saya tak pernah bayang akan pakai jubah konvo. Bila lihat ibu bapa bangga, rasa puas. Bidang kemahiran ini beri saya keyakinan dan hala tuju,” katanya.

Sementara itu, pengusaha GRO, Dr. Mohammad Syahrin Smail berkata, minat terhadap bidang gunting rambut makin meningkat dalam kalangan anak muda selain GRO berfungsi sebagai pusat latihan bawah TVET Jabatan Pembangunan Kemahiran.

“Ramai anak muda, termasuk yang tidak menghabiskan persekolahan berminat ceburi bidang ini kerana ia memberi peluang pendapatan stabil dan boleh berkembang menjadi usahawan,” katanya yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Bahan dari Universiti Malaysia Perlis. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN