PETALING JAYA – Pendakwah selebriti Haris Ismail kecewa dengan tindakan tidak beradab seorang penuntut universiti yang memijak al-Quran dan berani memuat naik perbuatan tersebut dalam akaun media sosial baru-baru ini.
Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz berkata, memijak kitab suci al-Quran dilihat sebagai satu penghinaan besar terhadap agama Islam.
“Baru-baru ini viral seorang individu memijak al-Quran dan ini adalah perkara yang sangat menyakitkan hati umat Islam.
“Orang itu bukan saja memijak al-Quran tetapi juga memuat naik perkara tersebut dalam media sosial. Itu juga satu penghinaan terbesar dalam konteks agama.
“Kalau tidak rasa marah atau geram, kalian bukan orang yang normal, jujur apa yang saya katakan,” katanya dalam sebuah video.
Dalam masa sama, dia turut menegaskan setiap agama mempunyai batas yang perlu dihormati dan tidak seharusnya dilanggar sesuka hati.
“Kita diajar supaya tidak melanggar perimeter yang ada antara satu agama dengan agama yang lain.
“Jangan kamu menghina agama yang menyembah selain daripada Allah.
“Itu adalah prinsip dan fahaman kita dan ini satu perkara menyedihkan sebab ada individu yang sengaja,” katanya lagi.
Suami kepada selebriti berniqab, Neelofa itu menambah, tindakan memijak al-Quran menyentuh sensitiviti 3R iaitu agama, bangsa dan institusi diraja.
“Kalau kita tengok 3R, tindakan ini telah melanggar secara jelas. Apabila sentuh agama seseorang, memang menyakitkan hati dan akan menjadi kacau-bilau.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya menyeru kepada semua agama, janganlah menyakiti hati bangsa atau agama lain. Sebab agamalah yang membawa pendidikan akhlak, seseorang tunduk dan taat perintah Allah,” ujarnya.
PU Riz juga berkata, tindakan perlu diambil bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingin berlaku pada masa akan datang.
“Kalau tidak ambil pendekatan ini untuk menstabilkan hubungan antara kita, isu ini akan berlarutan dan mungkin peristiwa buruk akan berlaku.
“Semoga Malaysia dalam keadaan aman damai dan Allah SWT mengangkat institusi Islam di kemuncak serta kestabilan mengamalkan agama di negara ini dikekalkan,” jelasnya.
Baru-baru ini, kecoh apabila seorang penuntut universiti tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan berunsur agama, kaum dan institusi diraja (3R) dalam media sosial.
Penuntut lelaki berusia 21 tahun itu direman selama empat hari sehingga hari ini mengikut Seksyen 298 kanun keseksaan kerana melakukan tindakan menghina agama lain.
Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. – KOSMO! ONLINE














