PASUKAN hoki lelaki negara tekad ‘mengunci’ tiga mata awal dalam aksi pembukaan Kumpulan B kelayakan Piala Dunia apabila turun menentang Austria di Ismailia, Mesir, malam ini.
Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh menuntut anak-anak buah tidak leka dan mengambil mudah cabaran Austria pada perlawanan pertama itu.
Tegasnya, momentum kemenangan perlu dicipta lebih awal sebelum berdepan tugas lebih sukar ketika bertemu Pakistan dan China dalam jadual padat minggu ini.
“Kita harus menang, kita kena dapat tiga mata, itu permulaan yang sempurna dan kita mesti ambil tiga mata daripada Austria,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai dua keputusan seri 2-2 dalam aksi pemanas badan menentang tuan rumah dan Jepun baru-baru ini, Sarjit menjelaskan keputusan tersebut bukan gambaran sebenar kemampuan Speedy Tigers.
“Kita ada banyak pukulan sudut pendek, tetapi kita tidak ambil peluang itu, sebaliknya memilih pukulan sudut panjang kerana tidak mahu berlaku kecederaan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Sarjit mengesahkan penyerang kebangsaan, Ashran Hamsani terpaksa diketepikan daripada senarai akhir 18 pemain akibat kecederaan hamstring walaupun masih bersama pasukan di Mesir untuk menjalani rawatan.
“Ashran mengalami kecederaan hamstring dan tidak berada dalam senarai akhir, jadi buat masa ini dia pemain nombor 21 dan masih menjalani rawatan bersama pasukan di sini,” katanya.
Pada aksi kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan B yang menyaksikan mereka membuka kempen menentang Austria malam ini, sebelum bertemu Pakistan esok dan China pada 4 Mac.














