PETALING JAYA – Tindakan pemain bola sepak Muslim melakukan sujud syukur selepas menjaringkan gol di pentas antarabangsa disifatkan sebagai satu bentuk dakwah santai yang berjaya membawa imej positif Islam kepada masyarakat dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menerusi satu hantaran di laman Facebook berkata, fenomena tersebut bukan sahaja mencerminkan rasa syukur kepada Allah SWT, malah membantu memecahkan stereotaip negatif terhadap komuniti Muslim di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, pentas Piala Dunia kebelakangan ini menyaksikan trend pemain Muslim meraikan jaringan gol dengan melakukan sujud di atas padang sehingga menjadi simbol yang mendapat perhatian ramai.
“Dalam Islam, sujud syukur melambangkan penyerahan sepenuhnya dan rasa bersyukur seorang hamba atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT.
“Ia merupakan amalan sunat yang dilakukan sekali sahaja di luar solat, namun tetap memerlukan syarat tertentu seperti mempunyai wuduk, menghadap kiblat dan menutup aurat dengan sempurna,” katanya.
Tambahnya, lebih ramai atlet Muslim diharap dapat terus mengekalkan kecergasan dan prestasi cemerlang tanpa mengabaikan tuntutan syariat serta batasan aurat.
Katanya, atlet Muslim perlu menjadi contoh bahawa kejayaan dalam sukan tidak menghalang seseorang untuk menzahirkan identiti Islam secara terbuka dan berhemah.
“Biar dunia mengenali kita bukan sahaja kerana skil dan prestasi yang mantap, tetapi juga kerana disiplin agama yang kukuh.
“Fenomena ini menjadi inspirasi terbaik buat anak muda dan atlet Muslim untuk terus berbangga dengan identiti mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, kejayaan yang diraih di dunia seharusnya sentiasa disertai dengan rasa kehambaan kepada Allah SWT supaya hati kekal merendah diri meskipun berada di puncak kejayaan. – KOSMO! ONLINE.














